Sunday, 31 December 2017

Skandal tukar status hartanah Bumiputera gemparkan Johor

Oleh FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketika rakyat menghadapi kesukaran memiliki kediaman sendiri, skandal menukar status hartanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera di Johor tentunya menggemparkan.
Lebih-lebih lagi apabila seorang bekas exco kerajaan negeri didakwa di mahkamah sesyen atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta, di mana beliau mengaku tidak bersalah.
Berikut kronologi skandal hartanah Johor sepanjang 2017.
24 Februari – Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor ditahan SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.
Media melaporkan semua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis.
SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan. Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan.
28 Februari – SPRM menangkap seorang kontraktor bagi membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor. Beliau dibebaskan atas jaminan SRPM selepas direman selama 7 hari.
1 Mac – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Latif Bandi diumumkan bercuti sehingga tempoh yang tidak diberitahu selepas tangkapan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan pegawai khasnya, Muhammad Idzuan Jamalludin.
9 Mac – Abd Latif ditahan SPRM bagi membantu siasatan sementara anak dan pegawai khasnya dibebaskan. Media melaporkan sejurus penahanan itu, SPRM turut merampas kira-kira 150 utas beg tangan berjenama mewah, sebuah Toyota Vellfire dan wang tunai RM41,000 dalam serbuan ke atas kediamannya.
19 April – Abd Latif dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin didakwa di mahkamah sesyen dengan 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta.
Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor.
Mereka mengaku tidak bersalah.
20 April – SPRM mengenal pasti kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera di Johor.
14 Jun – Abd Latif bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, dan Amir didakwa di mahkamah sesyen dengan 21 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM35.7 juta.
Mereka mengaku tidak bersalah.
27 November – Adun Senai Wong Shu Qi diarah keluar daripada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana menarik balik kenyataan berhubung skandal hartanah di negeri itu.
Wong ketika membahaskan Bajet Johor 2018 meminta Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin menjelaskan tuduhan menerima RM12 juta daripada pemaju pada Mac untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.
Wong mendakwa mendapat tahu mengenai perkara itu melalui dokumen lebih 140 muka surat “dokumen siasatan SPRM berserta jadual transaksi wang” yang dimuat naik di satu laman web, dan meminta menteri besar menjawab dakwaan itu.
28 November – SPRM membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam kes rasuah hartanah melibatkan bekas exco Johor.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan.
“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diadakan-adakan untuk mengelirukan masyarakat,” tambahnya.
30 November – Amir membuat laporan polis selepas mendapat tahu satu dokumen yang dikatakan dokumen siasatan SPRM berkait dirinya tersebar dalam sebuah laman blog dan satu akaun Facebook.
Amir menegaskan dokumen yang dimuatnaik itu bukan dokumen yang beliau serahkan kepada peguam, dan terdapat perbezaan ketara dan banyak halaman yang ditinggalkan serta wujud dokumen langsung tidak ada dalam pengetahuan beliau atau peguam bela.
Abd Latif mengalu-alukan siasatan polis ke atas dokumen tersebut dan berkata maklumat yang dipertikaikan itu bukan daripadanya.
“Tidak ada apa nak sembunyi,” kata peguamnya, Hasnal Rezua Merican.
4 Disember – Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menerima suapan jutaan ringgit seperti yang terkandung dalam “dokumen” yang dikatakan dokumen siasatan SPRM.
“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan,” katanya.
8 Disember – Polis menahan seorang penulis blog, Yusof Al-Siddique Suratman atau dikenali sebagai Milo Suam, dan direman selama 3 hari berhubung kebocoran dokumen yang dikatakan dokumen SPRM.
10 Disember – Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mempertikaikan tindakan SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Khaled sejak skandal terbongkar pada Februari atau selepas dakwaan terhadapnya ditimbulkan oleh Adun Senai di DUN Johor.
Sumber: Free Malaysia Today  -  31 Disember, 2017.

Kehakiman kurang empati pada golongan miskin, kata Hindraf

Oleh FMT Reporters
PETALING JAYA: Hindraf menuduh badan kehakiman kurang empati selepas seorang penganggur dipenjarakan kerana mencuri 4 botol Nutella.
Pengerusi P Waythamoorthy berkata tertuduh mencuri barangan itu kerana kemiskinan.
Beliau mendakwa badan kehakiman dan sistem undang-undang mengecewakan lelaki itu kerana hukuman yang dikenakan nampak tidak seimbang dengan keterukan kesalahan itu dan kebersalahan lelaki itu apabila melihat kepada motif tindakan itu.
Pada 22 Disember lalu, Mohd Azmi Mohamed Eid dikenakan 14 hari penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang, dan denda RM500 atau 3 bulan penjara, kerana mencuri 4 botol sapuan cokelat Nutella bernilai RM111.96 daripada sebuah pasaraya di Ampang.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan kesalahan itu selepas Azmi mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.
Waytha, yang juga seorang peguam, berkata sistem keadilan nampak seperti ada bias dalam layanan terhadap golongan miskin dan kaya.
Beliau berkata daripada mengenakan hukuman seperti itu terhadap orang miskin, sistem keadilan sepatutnya melihat gambaran yang lebih besar serta motif sebalik jenayah tertentu.
“Tidak ada gunanya menyalahkan golongan tanpa kuasa dan miskin kerana melakukan jenayah kecil akibat pengasingan daripada pembangunan sosio-ekonomi utama negara,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada kes Shashikumar Selvan yang menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana mencuri beras dan 2 tin sardin sebelum meninggal dunia di Penjara Kluang pada Mei 2015.
Beliau berkata kes-kes seperti itu menimbulkan persoalan tentang “kompas moral” sistem keadilan jenayah negara.
Waytha berkata tindakan Azmi menunjukkan tindakan afirmatif kerajaan dalam membantu golongan Bumiputera tidak berkesan.
Beliau berkata Azmi masih berdepan dilema menjalani kehidupan yang baik walaupun dia seorang Melayu dan Bumiputera.
“Bagaimana dasar-dasar atas kertas ole kerajaan sekarang memberi manfaat pada masyarakat terbanyak sedangkan ia nampak seperti hanya memberi manfaat pada golongan berkuasa dan berkedudukan?” soalnya.
Semalam, peguam Chan Yen Hui, yang berdaftar dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, turut mempertikaikan sama ada golongan miskin dan memerlukan mempunyai akses kepada keadilan apabila mereka sering tidak diwakili peguam dan dikenakan hukuman berat.
Chan berkata ia nampaknya seperti para majistret tidak sensitif pada pahit getir orang yang disyaki jenayah yang tidak diberi peluang mendapatkan peguam untuk membantu kes mereka.
“Keadaan ini menyebabkan saya tertanya sama ada kerajaan atau skim bantuan guaman jenayah tajaan Badan Peguam masih berfungsi,” katanya.
Peguam M Visvanathan berkata hukuman tahanan lebih memudaratkan Azmi daripada melakukan kebaikan kerana keluarga Azmi akan buat sementara hilang tempat bergantung semasa dia dalam tahanan.
Sumber: Free Malaysia Today  -  30 Disember, 2017.

Dr M tekad pulihkan pemisahan kuasa jika PH menang

Oleh Adam Abu Bakar
SHAH ALAM: Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tekad memulihkan doktrin pemisahan kuasa jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.
Bekas perdana menteri itu, yang pernah dipersalahkan kerana menjejaskan kuasa badan kehakiman, berkata PH akan kembalikan dasar di mana badan eksekutif tidak boleh menguasai badan legislatif dan badan kehakiman, termasuk keneutralan perkhidmatan awam.
“Pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana, penghakiman akan dikembalikan, khususnya perdana menteri tidak boleh kuasai pentadbir dan kehakiman.
“Ketiga-tiga pihak ini tidak boleh campur tangan dalam urusan masing-masing,” katanya kepada 941 perwakilan PPBM sempena mesyuarat agung kali pertama parti itu di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata antara langkah yang akan diambil termasuk melakukan melakukan perubahan dalam cara perlantikan para pegawai tinggi kerajaan tertentu, seperti penubuhan jawatankuasa Parlimen untuk meneliti kelayakan dan pelucutan.
“Ia untuk memastikan kelayakan mereka sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik. Jawatankuasa pemilih akan dianggotai wakil kerajaan dan parti lawan.
“Mereka juga tidak boleh dilucutkan jawatan sebelum dihadapkan kepada jawatankuasa pemilih untuk menentukan sebab-sebab lucutan dicadangkan,” katanya di hadapan 941 perwakilan.
Dr Mahathir berkata lembaga perubatan juga akan menentukan kesihatan seseorang pegawai yang dikatakan jatuh sakit sebelum membenarkan peletakan jawatan.
“Jika mereka jatuh sakit, sebuah medical board akan tentukan kesihatan mereka, sama ada benar-benar tidak boleh lagi bekerja. Perdana menteri tidak boleh tipu Agong berkenaan kesihatan pegawai atau hakim,” katanya.
Isu warga asing
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata PPBM mahu mengurangkan kehadiran pendatang asing daripada 7 juta orang kepada 2 juta orang, dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui skim latihan dan galakan warga tempatan.
Pelaburan yang memerlukan pekerja asing akan dikurangkan, dan cukai tidak akan dikecualikan ke atas pengambilan pekerja asing.
Beliau menambah dasar industri negara akan utamakan peluang pekerjaan kepada warganegara, dan jika perlu, perlindungan akan diberi kepada industri baru sehingga berdaya saing.
Dasar mengutamakan warganegara juga diguna pakai untuk tenaga kerja dan pengurusan kilang daripada pelaburan langsung asing, melainkan ada sebab-sebab tertentu.
“Demikian juga bekalan bahan dan komponen ini jika terdapat dalam negara,” katanya, dan menambah pembelian tanah untuk mendirikan bandar untuk pendatang asing tidak termausk dalam takrif pelaburan langsung asing.
“Sementara kita bersedia menerima masuk warga baru dari negara lain, jumlahnya hendak tidak meninggkat tinggi sehingga mengubah secara radikal agihan peratusan warga negara berbagai kaum di Malaysia.”
Konvensyen hari ini merupakan yang mesyuarat agung pertama PPBM sejak penubuhannya diluluskan pada September 2016. PH sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
Sumber: Free Malaysia Today  -  30 Disember, 2017.

Krisis ekonomi rakyat di Malaysia

Oleh Abdul Azim Roslan
EKONOMI negara Malaysia didakwa sedang berkembang dengan pesat jika diukur dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di mana ia berkembang 5.8% pada suku kedua 2017.
Pelaburan asing juga didakwa masuk berpuluh-puluh bilion setahun menandakan betapa baik dan makmurnya ekonomi Malaysia. Malaysia juga disenarai antara negara yang paling pesat membangun ekonominya di dunia jika dirujuk laporan yang dipaparkan oleh akhbar perdana.
Tetapi persoalannya, adakah perkembangan pesat ekonomi negara ini dirasakan oleh rakyat kebanyakan? Apakah ekonomi poket rakyat turut sama merasai pertumbuhan pesat itu?
Ekonomi rakyat yang dimaksudkan adalah hal ekonomi yang memberikan “direct impact” kepada rakyat seperti harga rumah, persoalan gaji, harga barang keperluan harian, kemampuan menyimpan dan lain-lain. Rencana ini akan menyentuh persoalan ekonomi rakyat yang dilihat berjalan tidak seiringan dengan loncatan ekonomi negara. 
Rumah tak mampu milik
Isu harga rumah di Malaysia merupakan antara isu yang sangat penting untuk dibincangkan. Ini kerana harga rumah di Malaysia sudah mencapai kepada satu tahap yang tidak masuk akal. Sentimen rumah mahal ini bukan sekadar cakap-cakap kosong, tetapi disokong oleh kajian Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk “Making Housing Affordable” dan terbit pada 2015.
Menurut kajian KRI, harga rumah di Malaysia pada 2014 berada dalam kelas “sangat tidak mampu milik” dengan kadar 4.4. Kajian ini dilakukan oleh KRI mengikut kaedah Median Multiple yang mana mengira penengah pendapatan isi rumah selama setahun dan diganda dengan tiga sebagai asas kepada harga rumah mampu milik.
Jika harga rumah berkadaran lebih daripada ganda tiga, maka jatuh kepada kelas tidak mampu milik, dan jika jatuh pada ganda tiga dan ke bawah maka ia akan jatuh dalam kategori mampu milik. Pada 2012, Median Multiple di Malaysia berada pada kadar 4.02, kemudian pada 2014 ia meningkat kepada kadar 4.4. Ini bermakna, harga rumah di Malaysia menjadi semakin tidak mampu milik saban tahun.
Pendapatan penengah isi rumah di Malaysia pada 2014 sekitar RM4,585 sebulan, manakala untuk setahun RM55,020. Harga rumah mampu milik di Malaysia secara idealnya RM55,020 digandakan dengan tiga iaitu bersamaan dengan RM165,060 dan ke bawah.
Tetapi apa yang berlaku, 60% harga rumah di Malaysia pada 2014 ialah RM242,000 dan ke atas (Nilai Median Multiple ialah 4.4). Ini bermakna, harga rumah di Malaysia pada 2014 lebih mahal daripada kemampuan pendapatan rakyat sekurang-kurangnya sebanyak RM77,000.  
Jika diperincikan lagi kajian daripada KRI ini kepada pecahan negeri, kita akan dapati Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur merupakan negeri atau wilayah yang mempunyai kadar Multiple Median yang sangat tinggi iaitu lebih angka 5 dan jatuh di dalam kelas “sangat teruk”.
Di Malaysia, hanya Melaka saja yang jatuh dalam kelas harga rumah mampu milik. Kaedah Median Multiple ini dibangunkan oleh United Nations Centre for Human Settlement (UNCHS) dan World Bank pada 1988 di bawah program Housing Indicators Program.
Antara punca kepada isu harga rumah menjadi tidak mampu milik adalah apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah menghapuskan sistem Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pada 2008 dan diteruskan oleh Najib Razak pada 2009.
Sistem cukai ini diperkenalkan sebelum ini untuk mengekang spekulator hartanah menaikkan harga hartanah secara tidak terkawal. Sejak 1995 hingga ke 2007, CKHT dikenakan 30% pada tahun pertama penjualan semula hartanah.
Apabila CKHT mula dihapuskan pada 2008 dan 2009, kenaikan harga rumah secara mendadak boleh dikesan apabila pada 2009 ke 2014, secara purata kenaikan harga rumah pada 10.1% (CAGR) berbanding sebelum pemansuhan CKHT iaitu hanya 3.1%.
Menyedari hal ini, kerajaan Umno-Barisan Nasional mula kembali memperkenalkan CKHT secara berperingkat bermula dengan 5% pada 2010 sehinggalah kembali kepada asal iaitu 30% pada 2014.
Kadar kenaikan gaji dan kadar inflasi
Menurut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah yang di keluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) pada Mei 2017, gaji penengah (Median Salary) pekerja di Malaysia pada 2016 adalah RM1,703 meningkat +6.2% berbanding 2015 iaitu RM1,600. Secara kasarnya, separuh pekerja Malaysia pada 2016 mempunyai gaji RM1,703 dan ke bawah iaitu bersamaan lima juta pekerja.
Jika laporan ini diperincikan lagi mengikut negeri, kita akan dapati kenaikan gaji pekerja di Johor pada 2016 hanyalah RM50 saja dan bersamaan dengan +2.6% kenaikan.
Pekerja di Wilayah Persekutuan Labuan pula tidak menerima sebarang kenaikan gaji. Jika nilai inflasi pada 2016 diambil kira (+2.1%), kenaikan gaji pekerja di Johor sebenarnya kurang daripada RM10 (+0.5%).
Lebih malang di Labuan, kenaikan gaji mereka sebenarnya -2.1%. Hal sama pernah berlaku di Kuala Lumpur (KL) pada 2014-2015 apabila kajian daripada JPM menunjukkan pekerja di KL tidak menerima sebarang kenaikan gaji dan jika mengambil kira faktor inflasi, maka kenaikan gaji mereka sebenarnya adalah -2.1%.
Laporan yang dikeluarkan pada November 2017 pula menunjukkan, kadar inflasi di Malaysia sehingga Oktober 2017 berada pada 3.7% dan pada Mac 2017 mencatatkan kadar inflasi tertinggi sepanjang lapan tahun iaitu sebanyak 5.1%. Bank Negara menjangkakan pada 2017 kadar inflasi negara berada pada kadar 3% – 4% dan ini lebih tinggi daripada 2016 iaitu hanya 2.1%.
Kos sara hidup meningkat
Jabatan Perangkaan Malaysia ada mengeluarkan laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 24 November 2017 yang menunjukkan kenaikan harga barang pengguna sebanyak +3.6% dari Oktober 2016 hingga ke Oktober 2017.
Peningkatan paling tinggi kadar IHP adalah dalam sektor pengangkutan iaitu 12.1%. Hampir semua harga barang harian pengguna meningkat seperti daging ayam (dari RM8.28 ke RM8.48 per kilogram), ikan kembung (dari RM12.39 ke RM13.84 per kilogram), sawi (dari RM3.72 ke RM4.46 per kilogram) dan ikan cencaru (dari RM8.82 ke RM9.58 per kilogram).
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh badan kerajaan itu, hanya ada dua sektor saja mengalami penurunan harga, sektor komunikasi dan barangan pakaian dan kasut. Tetapi barangan dalam sektor ini bukanlah menjadi keperluan harian pengguna dan tidak begitu mendatangkan kesan yang signifikan kepada pengguna.  
Menurut laporan akhbar pada 28 Disember, 2017 Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pimpinan SM Mohamed Idris mendapati harga barangan keperluan persekolahan meningkat antara 30% hingga 40% tahun ini, berbanding tahun lalu.
Hasil tinjauan CAP mendapati peningkatan harga kelengkapan lengkap persekolahan bagi murid lelaki pada tahun ini naik sehingga RM180.90 berbanding RM133.90 pada 2016, manakala murid perempuan pula meningkat antara RM174.70 hingga RM189.60 berbanding RM157.60 pada tahun lalu.
Agihan kekayaan yang tempang
Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Strategik KWSP, Balqis Yusoff terdapat 65% daripada 6.7 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 ketika tiba usia persaraan mereka.
Dengan simpanan sebanyak ini, pesara boleh bertahan hanya selama lima tahun sahaja itu pun jika mereka hanya berbelanja RM820 sebulan. Menurut beliau lagi, hanya 22% daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan yang mencukupi iaitu RM196,800 bagi menampung tempoh persaraan mereka pada usia 54 tahun dan ke atas.
Selain simpanan KWSP, indikasi kekayaan sesuatu masyarakat itu boleh dirujuk dengan unit saham yang dimiliki. Menurut kajian pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid, 72% pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai hanya RM536 saja di dalam akaun simpanan.
Ini jauh ditinggalkan dengan golongan teratas 0.2% yang mana mereka mempunyai pelaburan ASB sebanyak RM745,038 di dalam akaun mereka. Ini merupakan jurang perbezaan agihan kekayaan yang sangat ketara di kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Perbezaan jurang ini jika dirujuk pada Pekali Gini adalah pada kadar 0.838 untuk 2014. Pekali Gini ialah ukuran ketidaksamaan agihan yang digubah oleh ahli statistik dan ahli sosiologi, nilai 0 menyatakan kesamaan jumlah dan nilai 1 ketidaksamaan paling maksimum.
Ketidakmampuan untuk menyimpan kekayaan atau membuat simpanan sebahagian besar rakyat Malaysia berkait rapat dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kadar gaji yang agak mendatar.
Menurut Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), “Savings are a function of income and expenditure. If expenditure rises but incomes do not rise proportionately, then there will be little savings.”
Kenyataan daripada Bank Negara Malaysia pada 2015 membenarkan kenyataan ini apabila melaporkan tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak mampu mengadakan RM1,000 ketika waktu kecemasan. Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia tiada duit dalam simpanan mereka.
Usaha kerajaan
Isu ekonomi rakyat yang dibangkitkan dalam rencana ini bukanlah bermakna tidak ada sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk menanganinya, tetapi persoalan pokok adalah kadar keberkesanan usaha yang dilakukan.
Contohnya, inisiatif menangani isu harga rumah oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim memaklumkan kepada Dewan Rakyat sejak penubuhan PR1MA pada 2013 sehingga kini, kira-kira 8,475 unit rumah siap dibina.
Daripada jumlah itu, hanya 934 unit rumah PR1MA diserah kepada pemilik, manakala selebihnya masih lagi dalam proses serahan kunci.  Jumlah ini sangat kecil dan mencerminkan kegagalan pelaksanaannya.
Kerajaan juga pernah mencadangkan penubuhan makmal kaji kos sara hidup pada 2013 seperti yang di umumkan Khairy Jamaluddin. Kemudian pada 2015, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi membincangkan kos sara hidup. 
Pada hujung 2017, kerajaan melalui Hamzah Zainuddin mengumumkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi menangani masalah kos sara hidup. Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya sekadar menubuhkan Jawatankuasa. Tidak dapat dipastikan, apakah yang jawatankuasa ini lakukan atau cadangkan. Berkemungkinan, ia berakhir sekadar menjadi cadangan di muka akhbar sahaja.
Krisis ekonomi rakyat
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah krisis bagi menggambarkan betapa teruk situasi ekonomi rakyat sekarang, tetapi apa yang pasti, jika kerajaan Umno-Barisan Nasional berterusan gagal menguruskan isu ini dengan baik, maka tidak mustahil akan berlaku krisis yang sebenar pada masa hadapan.
Memahami perit pedih ekonomi rakyat kebanyakan bukan dengan menjadikan ratusan manusia yang beratur membeli I-Phone sebagai kayu ukur, tetapi ia harus datang dengan bersandarkan fakta dan angka, bukan sangkaan.
Ingatan sama harus diberikan kepada Pakatan Harapan yang ingin memerintah negara, ini antara isu yang dekat dengan rakyat. Pakatan Harapan harus beralih daripada hanya tahu mengkritik dan membangkang, kepada pakatan yang boleh menawarkan idea, solusi dan alternatif yang lebih baik.
Rakyat sedang menilai dan memerhati. 
Sumber: The Malaysian Insight – 31 Disember, 2017.

Saturday, 30 December 2017

Menyorot 2017, benarkah ‘Kita OK’?

Oleh Izmil Amri
SEKITAR dua minggu lalu, saya berkesempatan duduk bersembang dengan Steve Schale yang menjadi tetamu kepada seorang teman. Mat saleh ini, menurut laman wikipedianya, adalah orang yang bertanggungjawab memberikan kemenangan kepada mantan presiden Amerika, Barack Obama di wilayah Florida.
Steve menghabiskan masa lebih sejam bersembang dengan beberapa orang aktivis parti politik, berkongsi pengalaman dimarahi Bill Clinton, serta memberi sudut pandangnya sendiri tentang politik Malaysia; sebuah negara yang kian disayanginya; meski isterinya tidak begitu suka.
Sepanjang satu jam itu, hanya satu sahaja ayatnya yang sehingga hari ini terngiang di telinga saya yang pekak sebelah - “Sure there’s traffic (jam), but there are roads.”
Itu disebutnya ketika menggambarkan kempen menyebarkan kepalsuan kononnya negara ini tidak menanggung masalah yang terlalu besar.
“Ya lah memang jalanraya sesak, tetapi kan ada jalanraya.” Mujur dia tidak sebut, ‘syukurlah Malaysia masih aman’.
Proses menjaja ilusi ‘kita okay’ ini sedang giat dijalankan di saat kita semua rancak bersiap sedia menuju pilihan raya. Andaian bahawa negara tidaklah seteruk yang disangka. Apa nak kalut?
Ilusi ini kemudiannya diperkukuh dengan keriuhan untung besar portal beli belah Lazada yang dilaporkan mengaut laba berjumlah RM1 bilion (US$ 250 juta) sempena ‘revolusi online’ syarikat itu.
Apa yang teruknya ekonomi Malaysia? Rakyat masih boleh ‘shopping’ sakan di Lazada, beratur membeli iPhone baru, malah bergaduh kerana sepasang kasut. Itu belum mengambil kira populasi yang melazimi kedai kopi mahal, makan di restoran selang sehari, dan berjimba setiap hujung minggu. Bukankah kita sebenarnya okay?
Ye ke awak okay?
Sebenarnya kita perlu melihat negara dengan sudut pandang yang lebih luas untuk mengukur okay atau tak okay umat Malaysia.
Malaysia punya populasi sekitar 30 juta, dengan pekali Gini tahun lalu menyaksikan agihan pendapatan isi rumah yang semakin baik. Perdana Menteri, suami Rosmah Mansor, memberitahu kita dalam pembentangan Belanjawan 2018 bahawa angka pekali Gini negara pada tahun 2009 (ketika beliau mengambil alih pemerintahan) pada angka 0.441 telah mencecah 0.399 pada tahun lalu.
Untuk konteks, pekali Gini adalah nilai yang kita gunakan bagi mengukur kesenjangan ekonomi. Semakin menghampiri nilai 0, semakin kecil jurang ekonomi. Sebalik jika semakin menghampiri nilai 1, semakin luaslah jurang kaya miskin.
Jika kita mengambil kira persepsi angka pekali Gini itu sahaja seperti yang dibentang Najib Razak, nescaya benarlah ilusi bahawa semuanya okay. Bahkan keadaan sejak 2009 sehingga kini, bertambah-tambah okay. Tapi takkanlah kita ini bangsa yang hanya tahu telan propaganda tanpa usul periksa, kan?
Daripada populasi 30 juta itu, berapa peratus sebenarnya yang menikmati kopi mahal setiap hari dan bertolak-tolak merebut beli telefon canggih? Berapa peratus yang duduk di puncak piramid pendapatan dengan gaji sebulan cukup untuk memberi makan fakir miskin selama dua tiga tahun (bahkan lebih lagi)?
Berapa peratus pula yang masuk kategori miskin, miskin bandar, dan menetap di tangga 40% paling rendah di piramid pendapatan dan minum kopi 434 Muar tiga kali ulang guna satu uncang? Adakah mereka juga okay?
Bagaimana dengan peniaga kecil atau pekerja yang membawa pulang lebih sedikit daripada kadar upah median RM2,000 sebulan? Bagaimana kalau gajinya RM2,050 dan tinggal menyewa di rumah PPR yang tuannya orang politik bawa kereta besar hasil kutip sewa daripada marhaen yang berhijrah ke bandar dari kampung halaman demi sesuap nasi? Adakah dia okay?
Bagaimana pula dengan peniaga kecil yang tidak boleh menaikkan harga jualan dan terpaksa menyerap kos cukai GST? Pulang ke rumah anak minta duit bayar yuran sekolah, tak boleh cakap tak ada duit, meski siang tadi pun sudah mengikat perut. Hari hujan, jual air tak laku. Adakah dia okay?
Bagaimana kalau kita beritahu pakcik ini bahawa cukai yang dibayar adalah kerana kerajaan tidak punya duit lagi, kerana kerajaan telah terpaksa menjamin pinjaman sebuah syarikat yang namanya 1MDB?
Syarikat itu baru tempoh hari membayar sekali lagi sejumlah besar wang kepada dana berdaulat Abu Dhabi, yang sebelumnya dulu telah dibayar ke sebuah syarikat lain dengan nama yang hampir serupa. Bayaran itu lesap tidak terganti lagi.
Bagaimana kalau kita beritahu orang di Pekan, Pahang bahawa ada satu menara baru sedang naik di tengah kota Kuala Lumpur yang bakal mengalahkan ketinggian menara berkembar Petronas? Pastilah mereka bertepuk tangan, menyangkakan kita semua okay belaka. ‘Syukurlah Malaysia masih aman’.
Nah, sekarang beritahu orang di Pekan, kerusi parlimen disandang almarhum Tun Razak bahawa menara tinggi yang baru itu bukan milik orang Malaysia, meski didirikan atas namanya. Beritahu orang Pekan bahawa menara itu milik orang Indonesia, dan lihat bagaimana air muka mereka berubah.
Alang-alang kita sudah beritahu itu, khabarkan juga bagaimana Felda hilang sebidang tanah di Kuala Lumpur. Sambil menjeling rumah mereka di tanah rancangan yang sudah tidak memberi hasil sawit lagi.
Khabarkan juga kepada kawan kita di Sabah dan Sarawak tentang bagaimana di Semenanjung akan ada landasan keretapi baru, ECRL namanya; menganjur dari Pantai Timur hingga hujung Pelabuhan Klang. Beritahu bagaimana gemilang majlis pelancaran projek itu, yang didanai wang orang kaya dari Tanah Besar China.
Lebuhraya Pan Borneo mereka masih belum siap. Ternyata janji tidak menurap jalanraya sejak pilihanraya entah bila. Adakah mereka okay? Ya, mereka air bersih pun belum tentu ada.
Sungai buat tadah air minum dan punca air buat membasuh perlu diasingkan. Tangki biru 1Malaysia tidak ada isi. Hujan bukan takdir ditentukan parti politik. Beritahulah yang mereka itu okay. Dikejarnya kau dengan sumpit.
2018
Tahun baru ini akan mengusung pertembungan politik yang paling dahsyat dalam sejarah. United Malays National Organisation akan menghadapi pilihanraya dengan penuh gaya, menabur janji dan wang berbakul-bakul supaya kita terpesona dan mengekalkan mereka di kursi kuasa.
UMNO akan terus berkuasa, mungkin untuk seribu tahun lagi, sejajar seruan presidennya. Ia akan terus berkuasa jika kita kekal terpesona dan tertipu dengan ilusi bahawa segalanya okay sahaja.
Hakikatnya, kita tidak okay. Ya mungkin benar, ada sekelumit dua kebahagian yang kita kecapi, sesaat dua kita girang gembira. Tetapi kalau UMNO tidak ada, alangkah lebih bahagianya kita.
Bayangkan sebuah negara tanpa UMNO. Ya, itulah dia Malaysia baru. Malaysia tanpa United Malays National Organisation. Itu baru okay. 
Sumber: The Malaysian Insight – 30 Disember, 2017.

Azam baru kerajaan baru

Oleh Wan Hamidi Hamid

SAYA sering kecewa dengan diri sendiri apabila mengenangkan azam peribadi setiap tahun baru gagal dicapai. Oleh itu, untuk tahun baru ini, biarlah saya simpan azam peribadi di dalam hati sahaja.
Untuk azam umum, saya hanya ada satu impian sahaja. Saya ingin melihat sebuah kerajaan pusat yang baru ditubuhkan dalam pilihanraya umum 2018. Sudah tentu kerajaan baru itu bukan lagi Barisan Nasional yang telah bersama kita sejak lahir sebagai Perikatan lebih 60 tahun lalu.
Apakah sebuah kerajaan baru, mungkin namanya Pakatan Harapan, dapat membawa perubahan besar yang kita nanti-nantikan? Sebuah pentadbiran yan amanah, bersih, cekap, telus, tegas dan saksama? Satu era baru gilang-gemilang untuk Malaysia?
Bagi saya, jawapan yang paling jujur adalah “tidak semestinya”.
Pakatan Harapan menggabungkan parti pembangkang tegar seperti DAP dengan pembangkang baru seperti Bersatu yang rata-ratanya bekas UMNO, bersama PKR dan Amanah yang bercampur-aduk agenda Melayu-Muslim- demokrat. Sukar untuk dibayangkan Dr Mahathir Mohamad selaku pemimpin de facto Harapan dilihat sebagai tokoh reformasi.
Sukar juga dibayangkan DAP yang demokratik separa sekular dapat melaksanakan impian peluang saksama dan keadilan sosialnya apabila dipayungi tiga parti sahabat yang berpegang kepada agenda Melayu, yang kadangkalanya tidak begitu jauh beza dengan UMNO dari segi keutamaan kaum.
Dalam keadaan sebegini, PH sebagai kerajaan baru tidak mungkin membawa reformasi radikal yang diimpikan oleh golongan liberal atau segelintir radikal progresif. Apa pun ini tidak menggemparkan kerana kebanyakan pengundi Malaysia, khususnya Bumiputera, memang berminda konservatif di segi kaum dan agama.
Jadi, jika PH tidak akan membawa perubahan besar, mengapa kerajaan baru menjadi impian saya untuk 2018? Mengapa tidak terima sahaja kerajaan yang ada?
Kerana saya sudah di peringkat usia yang telah melalui pahit-getir politik sejak 1980-an dapat melihat bahawa apa yang diperlukan oleh masyarakat Malaysia sekarang ialah sedikit ruang untuk bernafas, dan tidak selamanya dicengkam pemerintah.
Bagi saya, lebih baik berlaku sedikit perubahan daripada kekal di takok lama yang menyakitkan serta menjangkitkan wabak keruntuhan semangat. Apatah lagi sikap, amalan dan dasar kerajaan yang ada hari ini seolah-olah tidak bermaya untuk bergerak.
Dengan adanya ruang bernafas melalui kerajaan baru – yang menjanjikan reformasi, kebebasan, demokrasi dan hak asasi serta jaminan mendukung Perlembagaan Persekutuan – rakyat boleh mula bersuara tanpa rasa takut. Ia hanya satu detik permulaan.
Namun, ada orang kata, apa guna jika sekadar sedikit sahaja perubahannya. Ada pula yang marah kerana menganggap tiada guna memilih yang kurang buruk berbanding dengan yang betul-betul buruk. Suara-suara ini mahukan perubahan radikal.
Memang mudah membuat pelbagai tuntutan apabila kita tidak memegang sebarang amanah atau mewakili mana-mana wadah yang memerlukan suara majoriti. Apatah lagi jika kita merupakan golongan kelas menengah ke atas yang berdikari dan berkemampuan serta tidak mempunyai apa-apa pergantungan dengan kerajaan.
Bagi kebanyakan kita daripada kelas pekerja, petani dan golongan makan gaji dengan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, ada yang inginkan perubahan yang tidak radikal. Tetapi timbul satu ketakutan untuk membuat perubahan.
Fitrah manusia terhadap perubahan adalah negatif. Diri mudah selesa dengan apa yang ada, dan dengan itu, sukar untuk membuat perubahan. Seperti sesetengah haiwan yang dikurung terlalu lama dalam sangkar; ia takut apabila bebas di luar sana. Kerana itu kita sukar melakukan perubahan walaupun ia berkemungkinan baik untuk kita.
Tetapi jika kita sedar bahawa perubahan yang mahu dibawakan oleh PH bukan sesuatu yang radikal (yang mungkin menghampakan segelintir manusia berjiwa progresif radikal) ia mungkin lebih mudah diterima golongan majoriti yang tidak bersedia, malah enggan menerima perubahan yang drastik.
Apabila kita berbicara tentang kebebasan, ia bukan soal pornografi. Ia juga bukan soal menghina kaum, agama dan budaya. Entah kenapa ada golongan tertentu yang suka sekali mengaitkan kebebasan dengan kelucahan. Kenapa agaknya?
Yang dimaksudkan kebebasan di sini adalah sekadar menjamin hak kita sebagai warga untuk menyuarakan cadangan dan kritikan terhadap pemerintah dan wakil- wakil mereka tanpa rasa bimbang atau takut.
Malah, ia bukan sekadar bersuara demi hak bersuara. Kita perlu bersuara atas hal- hal yang berlaku di sekeliling kita, sama ada soal harga barang dan perkhidmata naik, GST, kemerosotan nilai Ringgit, peluang pekerjaan dan kreativiti orang muda, hak-hak sah Sabah dan Sarawak, sistem pendidikan yang memerlukan reformasi, hak-hak wanita, pengurusan Felda yang lebih jujur, telus dan mengutamakan peneroka serta waris-waris mereka, dan pelbagai isu lain.
Kerajaan PH yang pastinya bersungguh-sungguh mahu membuktikan ia jauh lebih baik daripada BN sudah tentu mampu melakukan perubahan yang tidak begitu radikal ini dalam masa yang singkat.
Tiada apa pindaan besar dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia hanya mahu memastikan hak setiap rakyat terjamin serta tugas menteri adalah untuk rakyat, bukan untuk diri dan keluarga.
Hanya itu sahaja yang saya harapkan daripada kerajaan baru. Tidak perlu menjanjikan matahari, bulan dan bintang; cukup sekadar melaksanakan reformasi yang telah dijanjikan. Hal-hal yang lebih abstrak boleh dibincangkan bersama rakyat nanti.
Yang penting, rakyat akan mempunyai ruang bicara. Yang penting naratif tidak ditentukan oleh seorang dua manusia yang berada di tampuk kuasa. Yang penting, keperitan selama lebih setengah abad dapat disembuhkan dengan era baru, walaupun tidak segemilang yang dicita-citakan. Semoga hilang gelap timbul terang. 
Sumber: The Malaysian Insight – 29 Disember, 2017.

Thursday, 28 December 2017

Dr M sindir Umno curi 'lillahi taala'

Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir laungan Umno 'lillahi taala' (kerana Allah Taala) yang dilaungkan oleh ketua penerangan parti itu Tan Sr Annuar Musa dan sekumpulan anggota Umno di Kelantan.
“Kata Annuar Musa – Umno lillahi taala atau Umno 'kerana Allah'.
“Saya nak tanya apakah Umno mencuri kerana Allah, Umno menipu kerana Allah, Umno makan suap dan Umno sogok duit kerana Allah,” kata pengerusi Pakatan Harapan.
Mahathir turut berkongsi rakaman video berkaitan di Facebook, yang menunjukkan Annuar sedang berucap kepada sekumpulan penyokong dalam loghat Kelantan.

Beliau antaranya mengajak orang ramai melaungkan “lillahi taala” selepas beliau melaungkan Umno.
Mahathir, yang pernah menjadi presiden Umno paling lama dalam sejarahnya, turut mendakwa Umno terlibat dalam skandal berkaitan pilihan raya.

“Apakah Umno pindah pengundi, tukar tempat mengundi, tukar sempadan untuk mencuri pengundi Melayu, Umno seleweng undi pos kerana Allah.
“Annuar sepatutnya junjung Quran dan lafaz bahawa semua yang dunia tahu dilakukan oleh Umno adalah kerana Allah,” tulisnya di Facebook.

Sumber: Malaysiakini  -  28 Disember, 2017.

'Terima kasih Chef Wan kerana berkata benar'

Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan penghargaannya kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, susulan kenyataan cef selebriti itu berkenaan isu-isu semasa baru-baru ini.
Bagi bekas perdana menteri itu, Chef Wan berani berkata benar dan menegakkan keadilan di saat mengekalkan pendiriannya untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
"Saya sedar Chef Wan bukanlah ahli parti politik, jauh sekali menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
"Namun saya amat menghargai pandangan yang menumpukan keadilan dan kesejahteraan negara, tidak memihak kepada mana-mana (tetapi) kebenaran semata-mata," katanya menerusi video di Facebooknya.
Semalam, Chef Wan dalam satu posting di Instagram menyentuh apa yang berlaku kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang kini terpalit skandal kehilangan hak milik tanah.
“Dulu, felda. Now, failed dah," katanya yang meluahkan kemarahannya apabila mengenang pengorbanan bapanya selaku peneroka, dan dirinya sendiri yang membesar di Felda.
“Semua kepercayaan semuanya habis hanyut ke laut," katanya lagi sambil berharap mereka yang terlibat, yang disifatkannya sebagai "penyamun", di bawa ke muka pengadilan.
Dalam posting beberapa hari lalu pula, Chef Wan berkongsi pengalamannya menolak permintaan parti politik kerajaan dan pembangkang yang memintanya berkempen untuk mereka dan berkata risau melihat "permainan kotor" dalam politik dengan menjadikan apa yang berlaku kepada Mahathir sebagai contoh.
Mahathir berkata, keberanian untuk bersuara sudah memadai tanpa perlu terlibat dalam politik secara langsung.
"Inilah yang disuruh agama kita - mengamalkan amar makruf dan menolak yang mungkar.
"Jika kita dapati ada pihak yang mengamalkan amar makruf, itu pun sudah memadai. Terima kasih, Chef Wan," kata Pengerusi BERSATU itu lagi.
Read more at https://www.maMahathir berkata, keberanian untuk bersuara sudah memadai tanpa perlu terlibat dalam politik secara langsung.
"Inilah yang disuruh agama kita - mengamalkan amar makruf dan menolak yang mungkar.
"Jika kita dapati ada pihak yang mengamalkan amar makruf, itu pun sudah memadai. Terima kasih, Chef Wan," kata Pengerusi BERSATU itu lagi.
Sumber: Malaysiakini  -  28 Disember, 2017.

Akhbar: Firma China selamatkan 1MDB


Pelupusan aset 1MDB kepada syarikat China membantu mengumpul dana untuk membayar hutang AS$602.7 juta kepada syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) menjelang akhir tahun ini, lapor akhbar Straits Times Singapura.
Laporan yang memetik sumber yang tidak dinamakan itu, berkata 1MDB menjual instrumen kewangan dan kepentingan oleh dua entiti berkaitan 1MDB yang memegang tanah di utara Pulau Pinang dan sekitar Pelabuhan Klang.
"Para pegawai kerajaan Malaysia menolak untuk menamakan pembeli dalam urus niaga hartanah itu tetapi seorang eksekutif kewangan yang rapat dengan isu itu berkata kepentingan ekuiti dalam entiti hartanah 1MDB akhirnya diperolehi oleh syarikat milik negara China.
"Eksekutif itu enggan mengulas lanjut," petik laporan itu.
1MDB mendakwa memperolehi 234 ekar tanah utama di Ayer Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 bilion pada tahun 2013.
Susulan semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian, kerajaan negeri Pulau Pinang mempertikaikan dakwaan itu.
Di Selangor, 1MDB memperolehi sebidang tanah seluas 310 hektar berhampiran Pulau Indah berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang pada tahun 2014.
Sebelum ini, 1MDB telah dikatakan mempunyai rancangan besar untuk membangunkan kedua-dua bidang tanah itu tetapi rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila syarikat berdepan masalah aliran tunai besar-besaran.
Kepentingan China dalam aset 1MDB tidak mengejutkan. Setakat tahun lalu, Financial Times melaporkan bahawa China dan Malaysia sedang berbincang untuk menyelamatkan 1MDB.
China sudah pun mempunyai kepentingan besar dalam aset berkaitan dengan 1MDB menerusi Edra Global Energy dan sedang meninjau projek lain milik 1MDB, termasuk Bandar Malaysia.
1MDB adalah firma dana pelaburan negara ditubuhkan pada tahun 2009, sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.
Sumber: Malaysiakini  -  28 Disember, 2017.

Skandal Felda contoh kaedah curi aset kerajaan, kata Dr Mahathir

SKANDAL terbaharu yang melanda Felda merupakan satu contoh modus operandi golongan tertentu untuk menyalurkan aset kerajaan ke dalam poket mereka sendiri, kata Dr Mahathir Mohamad. 
Bekas perdana menteri itu berkata, amalan tersebut merupakan perkara yang sering berlaku. 
"Nampak sahaja badan yang mempunyai duit, ada sahaja cadangan macam mana nak curi duit tu. Ini berlaku kepada Felda, berlaku kepada Tabung Haji, ia berlaku juga kepada kerajaan Malaysia.
“Apabila tanah di Kuala Lumpur yang nilainya lebih kurang RM7,000 satu kaki persegi dijual kepada 1Malaysia Development Berhad pada RM60 bagi satu kaki persegi.
"Lepas tu 1MDB jual balik kepada Tabung Haji dengan harga RM3,000. Inilah cara mereka menipu untuk mengambil harta kerajaan, harta rakyat dan dijadikan duit supaya duit itu boleh masuk poket orang tertentu," kata Dr Mahathir. 
Pengerusi Bersatu itu mengulas mengenai skandal tanah yang melanda Felda minggu lalu yang mana tanah milik agensi berkenaan dipindah milik ke syarikat lain tanpa pengetahuan lembaga pengarah.
Dr Mahathir berkata, ini menunjukkan betapa sesetengah individu sangat berkuasa dan beliau percaya "keuntungannya" pasti disalurkan kepada mereka. 
"Ini bermakna orang atasan itu sangat berkuasa sehingga tidak perlu tanya sesiapa dan buat keputusan sendiri. 
"Saya sangka ada juga "keuntungan tertentu" sebab itu dia sanggup curi tanah Felda, jual kepada orang sehingga Felda sendiri tidak tahu. Lembaga (pengarah) sendiri tidak tahu."
Dr Mahathir berkata, isu berkenaan terlalu besar sehingga pengerusi Felda Shahrir Samad tidak sanggup memikulnya dan terpaksa dedahkan apa yang berlaku. 
"Kalau terlibat dengan perdana menteri, ada orang yang nak sembunyi di bawah Akta Rahsia Rasmi dan bermacam lagi. Saya fikir, Shahrir sudah tidak dapat pikul lagi dan terpaksa dedah apa yang berlaku," kata Dr Mahathir. 
Dalam sidang media minggu lalu, Shahrir berkata beliau menyedari mengenai pemindahan tanah berkenaan pada Januari dan memaklumkan kepada Perdana Menteri Najib Razak pada Februari.
Namun tiada sebarang tindakan diambil untuk melaporkan isu berkenaan sehinggalah skandal itu dibongkar media tempatan dan didedahkan minggu lalu.  
Menurut Shahrir, Felda sudah membuat laporan polis berhubung pemindahan tanah di Jalan Semarak kerana Felda tidak menerima wang daripada "jualan" itu. 
Bekas pengerusi Felda Isa Samad tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung soalan mengenai pemindahan hak milik tanah ketika agensi itu di bawah pentadbirannya. Isa dilantik sebagai pengerusi Felda oleh Najib. 
Mengulas mengenai persoalan sama ada Najib bertanggungjawab ke atas skandal Felda, Dr Mahathir berkata beliau disiasat berhubung kerugian forex Bank Negara Malaysia 30 tahun lalu. 
"Takkanlah dia tidak tahu kerana kes besar seperti itu biasanya dilaporkan kepada Perdana Menteri. Saya terkejut," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata, beliau juga hairan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan tiada salah laku dalam kes Felda sedangkan agensi pencegah rasuah itu masih belum menjalankan siasatan berhubung perkara itu. 
"Apabila kes 30 tahun dulu (membabitkan saya) mereka mahu siasat. Tapi ini, tanpa siasatan, mereka isytiharkan kes itu sebagai masalah urus tadbir. 
"Macam juga dengan kes duit yang terdapat dalam akaun bank Najib duit sebanyak RM2.6 bilion, jawab Peguam Negara yang bukan sahaja sebagai pendakwaraya tetapi seolah-olah hakim, dia memutuskan tiada kesalahan," kata Dr Mahathir.
Sumber: The Malaysian Insight  – 27 Disember, 2017.

Tanah mukim ljok: Siapa yang terdedah?

Dr Dzulkefly Ahmad SERANGAN Umno-BN dan Khalid lbrahim terhadap Menteri Besar Azmin Ali atas isu penyelesaian projek terbengkalai di Ijok...