Sunday, 28 January 2018

Wala’ yang membawa bala

Abu Hafiz Salleh Hudin
AL-WALA' ialah satu doktrin penting dalam perbahasan akidah Islam. al-Wala’ menuntut ketaatan dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dan Rasul SAW dalam menyempurnakan arahan dan tuntutan agama. 
Manakala, al-Bara’ adalah menjauhi, berlepas diri serta membenci perkara yang bertentangan dengan arahan dan tuntutan Islam. 
Justeru, al-Wala’ dan al-Bara’ merupakan kata kunci yang merumuskan garis pemisah antara daerah iman dan kufur bagi seorang Muslim.
Malangnya, konsep-konsep ini, al-Wala’ khususnya seringkali dijadikan oleh PAS untuk mengikat dan ‘mengugut’ ahli-ahlinya agar tidak keluar parti dan menyokong parti-parti lain.
Daripada berusaha meyakinkan ahli-ahli dengan mengemukakan idea-idea politik bernas, menawarkan kualiti dan model pentadbiran yang memajukan negara, pimpinan dan ulama’ PAS mengambil jalan pintas dengan menyalahgunakan konsep wala’. 
Sanggahan pandangan dan tindakan politik presiden misalnya hanya dibenarkan dalam mesyuarat. Menegur di luar mesyuarat itu hukumnya haram kerana kononnya tidak menepati disiplin agama. Menuntut Presiden untuk berundur daripada jawatan juga adalah haram kerana bagi mereka jawatan itu ibarat jubah yang dipakaikan oleh tuhan. Jika Saidina Uthman, khalifah al-Rasyid ketiga kekal mempertahankan jawatan sehingga mati dibunuh maka demikian juga selayaknya untuk presiden mereka.  
Amat malang apabila pengikut PAS dengan mudah ditakut-takutkan dengan ugutan dosa, munafik, bahkan ke tahap menjadi kafir apabila gagal menyerahkan ketaatan kepada pimpinan parti. 
Adalah tidak salah untuk memantapkan kekukuhan sesebuah organisasi hasil dari kemantapan kerjasama dan persefahaman ahli organisasi. Namun tindakan mengugut ahli bawahan supaya tidak melontarkan persoalan ‘mengapa’ terhadap tindakan dan keputusan pimpinan dengan alasan wala' adalah sama sekali salah. 
Hal ini semuanya berjaya dilakukan kepada ahli-ahli PAS dengan memanipulasi ayat-ayat Quran dan hadith. Antara dalil yang seringkali digunakan untuk tujuan ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu beriltizam dengan jama‘at al-Muslimin dan imam (pemimpin) mereka”.
Hakikatnya, fatwa politik bahawa PAS adalah jamaah muslimin berdasarkan hadith ini hanya disokong oleh ulama-ulama parti yang berkepentingan. 
Selain daripada para ulama silam yang menafikan perkara ini, tokoh-tokoh gerakan Islam moden yang juga ulama terbilang seperti Sa‘id Hawwa’ dan Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris tidak menganggap gerakan dakwah atau politik yang wujud hari ini sebagai Jama‘at al-Muslimin tetapi jama‘at min jama‘at al-MuslimÄ«n (satu kumpulan dari jama‘at al-Muslimin).
Inilah pandangan yang bukan sahaja tepat bahkan mampu menjaga ukhuwwah persaudaraan sesama muslim dalam pertarungan idea politik dan perebutan kuasa. ‘Perseteruan’ merebut kuasa dalam kalangan kelompok-kelompok Islam pada zaman moden bakal didorong dek kehendak memenuhi tuntutan agama untuk ‘fastabiq al-Khairat’ (berlumba membuat kebaikan).
Kesan Salah Guna
Rakyat Malaysia harus tahu bahawa wala’ PAS ini sebenar satu bala yang merugikan mereka. Exco Kerajaan negeri Kelantan, Che’ Abdullah Mat Nawi baru-baru ini dilaporkan di media sebagai berkata bahawa tiada peruntukan wang kerajaan untuk pembangunan akan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang walaupun mereka adalah wakil rasmi yang dipilih rakyat. 
Keputusan diskriminasi ini diambil semata-mata kerana kepentingan politik sempit yang jelas bertentangan dengan perintah agama yang mewajibkan hak ditunaikan kepada mereka yang berhak. Amat sukar untuk memikirkan bahawa polisi zalim ‘Kerajaan Islam’ Kelantan ini akan diubah segera kerana ulama-ulama PAS sudah biasa diam seribu bahasa semuanya kerana al-Wala’.
Perpaduan umat Islam juga menjadi amat sukar dicapai apabila para pemimpin PAS dengan mudah melabel sebahagian umat Islam yang memilih wadah politik lain seperti Amanah sebagai barua, jebon, dan munafik haraki. 
Tindakan para pemimpin PAS ini walaupun bercanggah dengan akhlak Islam dan tata susila Melayu jelas direstui tanpa banyak soalan kerana wala’ adalah segala-galanya. 
Episod hitam ini jelas menunjukkan bahawa soal perpaduan dan kasih sayang sesama Muslim tidak lagi menjadi keutamaan pertimbangan PAS. 
Bahkan lebih teruk daripada itu, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan negara kekal dirundung malang apabila Najib dan Umno kekal berkuasa kerana tindakan pemimpin PAS yang menggesa ahli-ahlinya untuk memencil diri daripada gabungan besar pembangkang. 
Wala’ PAS sememangnya membawa bala. 
Sumber: The Malaysian Insight – 28 Januari, 2018.

Pesan Asri: PRU kali ini antara potong kaki atau potong kepala

Adam Abu Bakar
Pilih parti yang paling kurang memberi mudarat, pesan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kepada seorang peserta forum yang meminta nasihat untuk pilihan raya umum akan datang.
Beliau secara peribadi berkata demikian memandangkan tiada pilihan yang benar-benar bagus pada pilihan raya kali ini.
“Saya pesan (pada) diri saya, kita boleh sokong sesiapa. Ini adalah ijtihad. Saya rasa pilihan raya ini bukan ada sesiapa yang bagus tetapi siapa yang kurang teruk.
“Pandangan saya, melihat mudarat yang lebih ringan, antara potong kaki atau potong kepala, itu sahaja. Dua-dua kena potong juga, tetapi satu mati dan satu lagi sakit,” katanya di program Bicara Ilmu di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.
Pemerhati meramalkan PRU14 akan diadakan pada Mac atau April ini, dan perlu dipanggil sebelum tempoh penggal berakhir pada Ogos.
Kempen #UndiRosak menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini dan dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan.
Cerita peribadi bukan isu rakyat
Dalam soal memilih calon pula, Asri menyarankan pengundi supaya melihat kualiti hujah calon-calon yang bertanding.
“Tidak perlu bawa isu peribadi calon lawan ke dalam ceramah. Kalau hendak beritahu, beritahu isu yang ada kaitan dengan awam, seperti kehilangan RM50 juta atau bilion.
“’Come on lah’, kalau nak cari benda itu, semua kita ada. Kita sedap cakap urusan peribadi orang sedangkan kita sendiri banyak masalah.
“Jadi ‘gentleman’ lah apabila pilihan raya. Kenapa pilihan raya cakap urusan itu, sehinggakan adik dia pun masuk campur dan lebih teruk lagi, adik buat perangai tidak elok pula,” katanya tana menamakan mana-mana individu.
Asri turut menyelar sikap masyarakat yang asyik dengan dosa peribadi calon berbanding kesalahan-kesalahan
yang memberi kesan pada masyarakat.
“Masyarakat kita memang macam itu, dosa peribadi itu walaupun berdosa tetapi dianggap sebagai isu besar, manakala dosa yang membabitkan umum itu kita biar.
“Kalau orang itu berkhalwat, masuk dalam surat khabar, 6 tahun cerita tidak habis, tetapi kalau mencuri RM5 bilion, ‘relax’, senyum-senyum dan cium tangan lagi,” katanya.
Pengundi harus adil, jangan fanatik
Tambahnya, rakyat harus bersikap adil dalam menilai parti-parti politik dan jangan menyokong secaara membuta tuli.
“Kadang-kadang kita tidak suka, tetap kena nilai juga. Adakah penilaian kita itu adil ataupun tidak adil?
“Kadang-kadang kita tidak suka pada seseorang, dari awal dia bercakap walaupun benda betul juga kita tidak suka. Kalau betul dia cakap, cakap betul. Kalau salah dia cakap, cakap salah,” katanya.
Asri turut mengingatkan rakyat jangan fanatik terhadap parti-parti politik kerana sikap seperti itu bukan ajaran Islam.
“Kita hendak sokong tidak mengapalah, kita hendak mengundi juga tidak mengapalah, hendak jadi calon juga tidak mengapa. Tetapi fanatik ini tidak mungkin boleh berlaku.
“Ramai jenis macam itu. dia kira tengok lambang sahaja. Orang kadang-kadang tengok lambang, sebab mahu dapat duit,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today - 27 January, 2018.

Friday, 26 January 2018

Mengapa kita pilih reformasi

Wan Hamidi Hamid
REFORMASI bererti memperbaiki keadaan di dalam sistem yang ada hari ini. Ia merangkumi usaha secara aman meminda atau menggubal undang-undang yang lebih adil dan saksama, amalan demokrasi yang lebih telus dan tidak berat sebelah serta dasar-dasar yang menjaga kepentingan semua kaum, gender, agama dan wilayah.
Kesemua usaha ini dilaksanakan demi kebaikan rakyat.
Ia berbeza dengan revolusi yang mahu menghapuskan kerajaan yang ada hari ini dengan tujuan untuk membina satu sistem baru. Ia mahu membawa perubahan serta-merta. Walaupun niatnya sama dengan reformasi, iaitu demi kebaikan rakyat, sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan revolusi melibatkan persenjataan, keganasan dan pertumpahan darah.
Setidak-tidaknya itulah definisi untuk reformasi dan revolusi yang difahami umum tanpa membedahnya secara mendalam.
Kerajaan Malaysia sejak zaman Malaya merdeka tidak membenarkan amalan demokrasi bebas dan telus. Ia tidak mengamalkan demokrasi yang diamalkan di negara asal penjajahnya, iaitu Britain, tetapi mewarisi undang-undang, pentadbiran serta amalan sistem penjajah sahaja.
Kerana itu kerajaan Perikatan Malaya selepas 1957 (dan diluaskan ke Sabah dan Sarawak – dan Singapura, selepas pembentukan Malaysia pada 1963) terus mengekang kebebasan akhbar, menguatkuasakan undang-undang penahanan tanpa bicara, dan mengamalkan sistem pecah dan perintah melalui pengasingan kaum dalam bidang ekonomi.
Jalan reformasi
Namun, sejak merdeka juga, sudah ada usaha beberapa pihak yang mahu merapatkan hubungan antara kaum, terutamanya melalui gabungan politik. Dalam hal ini, jalan yang dipilih adalah melalui reformasi.
Usaha revolusi Parti Komunis Malaya tidak mendapat sambutan. Ia berikutan kekangan keras oleh penjajah British yang kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Perikatan Umno, MCA dan MIC yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Propaganda dalaman melalui pelbagai cara termasuk sistem pendidikan dan agama juga mengajar rakyat agar membenci komunisme. Malah, sosialisme yang demokratik juga sengaja dimomokkan agar ditolak oleh rakyat.
Dengan itu jalan keluar untuk memperbaiki pemerintahan Perikatan, yang masih dipenuhi dengan pegawai tinggi British dalam hal-hal pertahanan, ekonomi dan pentadbiran sepanjang 1960-an, beberapa parti pembangkang mengambil jalan reformasi.
Sehingga hari ini semua parti di Malaysia kekal dengan usaha reformasi. Jika ada pun suara-suara revolusi, ia hanya kesinambungan sembang kedai kopi sejak zaman merdeka kepada era media sosial hari ini. Ia tidak mendapat tempat dalam ruang awam yang sebenar. Ini merupakan gambaran masyarakat Malaysia yang konservatif dan pragmatik.
Reformasi menawarkan jalan keluar melalui pilihan raya. Walaupun sejak 1955 pilihan raya umum diadakan di negara ini (termasuk pilihan raya tempatan yang kemudiannya digantung oleh kerajaan Perikatan dan diharamkan oleh kerajaan Barisan Nasional), hanya Perikatan-BN yang menang secara berterusan. Hanya sesekali pembangkang menguasai satu atau dua kerajaan negeri.
Selepas alaf baru, lahir segolongan orang yang kecewa dengan pilihan raya – yang semakin tidak adil dan berat sebelah yang menjamin kemenangan BN – kerana pembangkang hampir pasti kalah setiap kali PRU. Mereka mula merasakan pilihan raya tidak mengubah apa-apa. Perasaan ini kerap timbul di kalangan sesetengah anak muda.
Namun, ramai yang tidak sedar bahawa reformasi merupakan kaedah yang memerlukan masa untuk membawa perubahan. Di kala ada orang tidak sabar dengan proses evolusi politik seperti ini, pihak BN sedar bahawa ia perlu menghancurkan sebarang pengaruh reformasi kerana ia mencabar kuasa mutlak pemerintah.
Apa yang telah berjaya diubah melalui reformasi atau proses evolusi politik itu sehingga menyebabkan BN mahu membasminya semampu yang boleh?
Gabungan pembangkang
Pada 1990, lahir gabungan pembangkang yang pertama sejak 1960-an. Sebelum itu BN menang mudah dalam semua PRU kerana tiada cabaran daripada pembangkang yang berpecah-belah, malah curiga antara satu sama lain.
Walaupun PRU1990 menyaksikan pembangkang yang belum benar-benar bersatu – kerana wujud dua gabungan yang diterajui satu parti yang sama – ia membuka jalan awal ke arah kerjasama politik. Semangat 46 mengetuai Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan parti-parti pelbagai kaum, dan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam.
Usaha itu gagal tetapi ia telah membuka ruang yang selama ini tidak berani dibincangkan. Pada PRU1999 akhirnya wujud satu gabungan Barisan Alternatif. Ia menggabungkan parti-parti yang berbeza ideologi untuk duduk bersama demi reformasi. Namun, ia tetap gagal menumbangkan BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.
Dalam tempoh satu dekad tersebut, senjata ampuh BN adalah politik kaum dan perkauman. Ia memomokkan pembangkang tentang siapa yang akan memegang kuasa jika berjaya membentuk kerajaan.
Pada 1990, dua gabungan pembangkang gagal meyakinkan pengundi. Pada PRU1999, apabila pengundi Melayu sedia mengubah kerajaan, pengundi bukan-Melayu bimbang dengan kebangkitan orang Melayu. Apatah lagi propaganda BN melalui media massa menyiarkan tanpa henti imej dan visual serangan terhadap kaum Cina di Indonesia sewaktu Reformasi di republik tersebut pada 1998.
Apabila rakyat bangkit
Hanya sedekad selepas itu pada PRU2008, rakyat yang marah dengan BN di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi kerana gagal melaksanakan janji- janji reformasinya telah membawa gelombang tsunami politik yang pertama di Malaysia. Kerajaan BN menang tipis apabila ia gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen serta tewas di lima negeri.
Apabila tersentak dengan prestasi buruk itu, BN di bawah pentadbiran Najib Razak memilih untuk meneruskan politik perkauman untuk menyerang pembangkang yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat. Namun PRU2013 mencatatkan sejarah apabila majoriti pengundi memilih parti yang bergabung untuk membentuk kerajaan baru, dan bukan lagi parti yang menjadi kesukaan kaum masing-masing.
Ia bererti majoriti pengundi bandar dan pinggir bandar, khususnya kaum Cina, mengundi PAS tanpa rasa was-was. Walaupun belum ramai pengundi Melayu sanggup memilih DAP, banyak pengundi dan penyokong PAS telah menyokong DAP. Lahirlah Pakatan Rakyat selepas PRU2013. Tsunami politik pengundi bandar itu juga telah mengejutkan BN daripada tidur mereka.
Dengan itu, kempen perkauman dan keagamaan sempit mula dimainkan pasca PRU2013. Ia terbukti berjaya apabila pimpinan ulamak dalam PAS terpengaruh dengan dakyah Umno tentang hal-hal Melayu dan Islam.
Berlaku “pembersihan” dalam PAS di mana semua pemimpin yang dianggap progresif ditumbangkan. Pimpinan ulamak kini begitu intim dengan Najib dan Umno. Malah pimpinan PAS kini kerap mempertahankan pentadbiran Najib yang terpalit dengan pelbagai skandal kewangan, termasuk 1MDB dan Felda yang memangsakan orang Melayu sendiri.
Namun, walaupun Pakatan Rakyat sudah tiada, ia kini digantikan dengan Pakatan Harapan yang diwakili pula oleh Bersatu pimpinan Dr Mahathir. Ia membuka lembaran baru kerana “masalah undi Melayu” untuk barisan pembangkang akhirnya bakal diatasi dengan kehadiran Dr Mahathir bersama bekas para pemimpin Umno,
Sudah tentu kehadiran Dr Mahathir sukar diterima oleh aktivis reformasi 1998 walaupun idola mereka Anwar Ibrahim sendiri rela dengan penyertaan bekas perdana menteri itu. Pragmatisme pengundi Malaysia menjadi harapan untuk Pakatan Harapan mencipta kejutan dalam PRU14 nanti.
Hasil reformasi melalui PRU
Kembali kepada persoalan apa yang sebenarnya berjaya dibawa oleh reformasi melalui PRU, jawapannya terpampang di depan mata. Pada PRU2008 dan 2013, buat kali pertama pengundi Melayu dan bukan-Melayu saling mengundi parti- parti yang sebelum ini tidak boleh duduk semeja, sembang semuka.
Juga buat kali pertama, pengundi Melayu berdepan, bercakap, berinteraksi dengan pemimpin serta akar umbi DAP yang selama ini dimomokkan sebagai orang jahat atau pengkhianat negara; dan mendapati mereka senasib sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama menderita akibat salah tadbir, salah guna kuasa, penyelewengan dan diskriminasi Umno-BN.
Malah buat kali pertama, pengundi bukan-Melayu, khususnya kaum Cina, sedar bahawa akar umbi PAS juga manusia biasa seperti mereka; bukan Taliban, bukan IS. Sedar atau tidak, rakyat Malaysia pelbagai kaum ini sama-sama mengenali dan mempelajari adat budaya yang selama ini dipisahkan oleh pentadbiran BN.
Kerana itulah reformasi melalui PRU, dan apabila mentadbir sebagai kerajaan nanti, akan memerlukan masa. Perubahan positif hanya boleh dilaksanakan melalui proses evolusi politik yang memakan masa. Sebarang perubahan mengejut akan memeranjatkan rakyat, malah boleh memberi kesan sebaliknya.
Reformasi untuk memulihkan kelemahan demokrasi Malaysia perlu mendapat sokongan rakyat melalui PRU. Yang penting adalah menubuhkan sebuah kerajaan baru menggantikan BN. Kemudian bermulalah proses reformasi. Ia memerlukan penyertaan semua pihak, khususnya pengundi, bagi memastikan perubahan dapat dilaksanakan.
Jika tidak, BN yang kita kenali sejak zaman Perikatan lebih separuh abad yang lalu akan kekal memisahkan kita mengikut kaum dan agama, serta melahirkan sikap curiga serta benci antara satu sama lain, kerana ia terbukti senjata ampuhnya untuk mengekalkan kuasa.
Senjata kita sebagai rakyat pula adalah sentiasa berpegang kepada semangat reformasi serta mengambil sikap tak kenal maka tak cinta, bila kenal mula mesra, menjadi sahabat seia sekata. 
Sumber: The Malaysian Insight – 26 Januari, 2018.

Mengundi untuk kebaikan, bukan untuk kerosakan #UNDIBAIKBAIK

Realiti pertama, kita sedang berbicara tentang pilihan raya umum. Tidak kiralah apa pun tindakan yang kita pilih, sebuah kerajaan akan tertubuh. Dan kerajaan itulah yang akan membuat undang-undang, buat dasar dan menentukan ke mana hala tuju perbelanjaan negara ini. Yang kemudian hari sama ada kita memilih atau tidak memilih, akan turut terkesan.
Realiti kedua, pilihan raya kuhususnya dan politik Malaysia secara amnya tidak pernah berdiri atas padang sama rata. Maka sesiapa pun yang nak menang melawan pemerintah sedia ada yang sudah berkuasa nak masuk satu abad, perlu pelbagai jenis strategi luar biasa dan bantuan pengundi yang luar biasa untuk menang.
Dua realiti ini saya cadangkan sentiasa menjadi pertimbangan sesiapa pun yang berharap untuk kita keluar dari koma demokrasi ini. Saya tidak sebut memulihkan demokrasi, saya kata untuk keluar daripada koma saja dulu. Jalan memulihkan demokrasi masih panjang dan jauh.
Hakikat yang kita terpaksa telan adalah sistem pemilihan yang kita pakai hari ini, iaitu first-past-the-post, bukanlah sistem yang sempurna. First-past-the-post secara mudahnya bermaksud siapa yang dapat lebih undi dia menang. Sehingga ke titik paling ekstrem, boleh menang meskipun dengan hanya kelebihan satu undi. Ini adalah sistem yang boleh mewujudkan situasi jika terdapat 50 orang dalam satu kawasan, yang mendapat sokongan 15 orang boleh menang meskipun tidak disukai oleh 35 orang lagi.
Situasi ini hampir pasti berlaku apabila terlalu banyak pilihan. Sehinggakan memilih pihak yang kita paling suka atau yang kita rasa paling baik berupaya memenangkan mereka yang paling kita benci dan paling memudaratkan kita.
Biar saya berikan contoh, sekiranya dalam satu sidang ada 50 orang. Yang paling dibenci majoriti di dalam sidang itu adalah A, namun A mempunyai 15 orang penyokong kuat. Jika berlaku pemilihan, 5 orang yang lain memilih B, 5 lagi memilih C, 10 lagi memilih D dan 15 lagi merosakkan undi. Keputusannya jelas, A akan menang meskipun 35 yang lain merasakan akan memudaratkan mereka.
Itulah yang dimaksudkan memilih pihak yang paling disukai atau tindakan yang dirasakan paling baik, telah memenangkan pihak yang paling dibenci. Sistem first-past-the-post memang cenderung melahirkan situasi ini. Sukar untuk memilih yang paling ideal, seolah sama sahaja dengan memilih pihak yang dibenci sebab akhirnya itu yang akan berjaya.
Maka, dalam sistem pemilihan ini, memilih atau menunggu pihak yang paling sempurna juga mengakibatkan pihak yang paling memudaratkan dapat terus diberi peluang memudaratkan kita. Itulah paradoks sistem ini dan suka atau tidak kita terpaksa berdepan dengan realiti. Kita masing-masing ada cita-cita ideal masing-masing, tetapi apakah dengan strategi yang salah kita boleh mencapai cita-cita kita itu?
Saya dah kupas berkenaan realiti sistem pemilihan dan paradoksnya. Apakah ada strategi yang boleh kita pakai untuk berdepan dengan realiti ini? Saya cenderung untuk #UndiBaikBaik. Iaitu kita tidak perlu suka parti yang akan menang, namun jangan kita membuka jalan kemenangan kepada parti yang akan meneruskan kemudaratan. #UndiBaikBaik bermakna kita teliti antara kesemua parti dan melihat siapa berpeluang menewaskan parti yang paling memudaratkan. Kemudian mengundi parti itu meskipun hati kita tidaklah sepenuhnya menyokong parti berkenaan.
Sudah tentu idealnya kita mahu yang paling sempurna segala segi menang. Namun realitinya, disebabkan menunggu yang paling sempurna, kita mendapat yang paling teruk.
Saya tidak mahu memaksa semua untuk melihat parti mana yang jika menang akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Antara yang sudah jelas nyata di depan mata dengan yang masih belum pasti, saya yakin semua cukup bijak membuat pilihan.
Bagi saya, mengelakkan mudarat itu lebih penting. Kalau ada yang berkata apa salahnya kita sabar menghadapi kemudaratan selama lima tahun lagi demi mencari kesempurnaan. Saya ingin bertanya mengapa perlu seksa diri jika kita boleh memilih untuk mengurangkan kemudaratan? 
Sumber: Roketkini.com - 26 January, 2018.

Jangan guna pendekatan ISIS dalam politik Malaysia, pendakwah terkenal tegur IKSIM

Pendakwah terkenal Ustaz Wan Ji Wan Hussin (gambar) hari ini menegur felo kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Engku Ahmad Fadzil Engku Ali supaya tidak memperkenalkan pemikiran ISIS dalam perkara melibatkan isu Islam negara ini.
“Sebagai sebuah negara demokrasi, kewujudan kepelbagaian parti adalah dibenarkan secara perlembagaan Malaysia, malahan dalam Islam itu sendiri.
“Justeru,  memfatwakan haram mengundi sesuatu parti yang sah secara perlembagaan tidak ada beza dengan pendekatan ISIS yang sedang tersebar di Syria dan Iraq, malahan telah mengancam keamanan dunia pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad sebelum ini yang menggesa mufti mengeluarkan fatwa mengenai mengundi, menyokong dan membantu DAP memandangkan kononnya parti itu sebagai ‘anti-Islam’.
Pegawai Penerangan Kerajaan Pulau Pinang itu berkata, sebagai badan yang mempunyai individu berpendidikan agama, IKSIM perlu faham perbezaan antara tiga perkara iaitu Islam, tafsiran Islam dan pendekatan yang diatasnamakan Islam.
“Menolak sesuatu pendekatan diatasnamakan Islam seperti ISIS, tidak boleh dianggap sebagai menolak Islam. Terutama, pendekatan keras itu ditolak oleh ramai Ulama-ulama yang muktabar.
“Saya berharap, IKSIM perlu menjadi badan yang mewujudkan keamanan dalam negara, bukan menimbulkan prejudis sesama masyarakat Malaysia yang diatasnamakan Islam.
“Sesungguhnya Islam bukan agama permusuhan, malahan Islam adalah agama yang mementingkan hubungan harmoni,” ujar beliau.
Jelas Wan Ji, tuduhan DAP sebagai ‘anti-Islam’ bukan sekadar ada kecenderungan pemikiran ISIS tetapi juga fitnah.
“Di Pulau Pinang, kerajaan yang diketuai seorang Non Muslim yang telah meluluskan peruntukan untuk perkembangan Islam lebih 84 peratus.
“Malahan, semalam ketua Menteri sendiri telah mengumumkan bajet kepada pegawai-pegawai masjid di seluruh negeri sebanyak 4.11 juta,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan IKSIM itu juga jelas cenderung kepada Barisan Nasional apabila badan berkenaan tidak pernah menyebut tentang MCA.
“Sedangkan hampir setiap kali pengumuman penambahan bajet untuk perkembangan Islam, MCA selalu menuduh DAP sebagai anti Cina,” katanya lagi.
Sumber:  Roketkini.com - 26 January, 2018.

Potret kemiskinan Malaysia

ZF Zamir
SEORANG teman dari Jerman bertanya minggu lalu setelah membaca status Facebook saya. Soalnya lewat Messenger sekitar jam 4 pagi atau 10 malam waktu Jerman, benarkah Malaysia negara sifar kemiskinan?
Saya membaca pertanyaannya dan tidak dapat tidur. Subuh menjengah, matahari naik perlahan-lahan dan saya masih belum ketemu jawapan.
Menurut laman web Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan di Malaysia telah turun kepada 0.4% pada 2016 dari 3.8% pada 2009. Manakala kadar kemiskinan di Sabah telah turun kepada 2.9% pada 2016 dari 19.7% pada 2009.
22 tahun yang lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan sebuah buku bertajuk Daerah-daerah Kemiskinan, sebuah kompilasi kertas kajian mengenai kemiskinan di 10 lokasi di luar bandar di seluruh Malaysia yang dikendalikan oleh H. Osman Rani sebagai Editor. 
Buku yang diterbitkan pada 1995 ini merakamkan kajian lapangan di Pendang, Padang Terap, Kerian, Kuala Pilah, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Bachok dan Kota Bharu. Dalam prakatanya, H. Osman Rani menulis: “...dalam tempoh 20 tahun iaitu antara 1970 hingga 1990, kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia telah turun dari 49.3% kepada 15.0%.”
Manakala Chamhuri Siwar dalam Bab 12 menegaskan; “Kemiskinan di Malaysia lebih merupakan fenomena luar bandar dan bumiputera. Pada 1987, kadar kemiskinan di luar bandar di Semenanjung adalah 22.4% berbanding dengan 8.1% di bandar.”
Beliau juga menulis: “Pada tahun 1987, kadar kemiskinan di Semenanjung adalah 17.3% berbanding 35.3% di di Sabah dan 24.7% di Sarawak.”
Naratif yang digelapkan
Akhirnya setelah 8 jam saya menjawab pertanyaan teman dari Jerman itu: “Ya, Malaysia adalah negara sifar kemiskinan. Kadar kemiskinan telah turun dari 49.3% pada 1970 kepada 0.4% pada 2016.”
Dia kelihatan tidak begitu gembira dengan jawapan itu. Saya sendiri, tidak boleh tidur sehingga ke petangnya. Kerana saya tahu hari ini di Kuala Lumpur, separuh dari pekerja seperti dinyatakan oleh Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah 2016 iaitu 50% pekerja di Malaysia mempunyai gaji kurang dari RM1,703.
Bayangkan, lebih separuh dari pekerja di negara ini mempunyai gaji kurang dari RM1703? Hari ini, kos sewa sebuah flat di mana-mana kawasan di Kuala Lumpur tidak kurang dari RM600. Agaknya, berapakah yang tinggal setelah ditolak kos sewa rumah, air, elektrik, minyak dan pengangkutan, untuk makanan? 
Berapakah agaknya jumlah simpanan hari tua untuk golongan pekerja ini? Berapakah agaknya jumlah perbelanjaan harian persekolahan untuk anak mereka, atau pembelian makanan berkhasiat yang diperlukan seperti susu? 
Berapakah jumlah ahli keluarga yang tinggal di dalam rumah-rumah flat seperti di Pandan Jaya ataupun di Desa Rejang yang hanya berukuran kurang dari 600 meter persegi itu? Berapa generasi agaknya yang tinggal sekali di dalam satu rumah? 2 generasi? 3 generasi?
Malangnya hari ini, semua naratif kemiskinan seperti ini telah digelapkan. Kita tahu dan kita semua sedar, gelandangan semakin bertambah, gaji dan upah tidak naik, harga barang semakin meningkat, dan orang miskin terutamanya miskin bandar yang hidup tanpa keselamatan sosial, dengan kemurungan dan depresi akibat masalah kewangan serta masalah sosial yang semakin menjadi-jadi akibat kemiskinan ini.
Ia berlaku di depan mata kita.
Propaganda tebang pilih
Tetapi jika kita melawat semula laman web Jabatan Perangkaan, misalnya, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012 melaporkan seperti berikut:
1. Jumlah isi rumah miskin telah berkurang sebanyak 52.7%, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 bagi tempoh yang sama.
2. Insiden kemiskinan di bandar telah berkurangan daripada 1.7% pada 2009 kepada 1% pada 2012
3. Insiden kemiskinan Bumiputera telah menunjukkan penurunan daripada 5.3% pada 2009 kepada 2.2% pada 2012
Manakala Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas 2016 pula melaporkan:
1. Insiden kemiskinan keseluruhan bertambah baik daripada 0.6% pada 2014 kepada 0.4% pada 2016.
2. Pada masa yang sama, insiden kemiskinan di bandar dan luar bandar turut mencatatkan penurunan masing-masing kepada 0.2% dan 1.0%.
3. Kesemua negeri mencatatkan penurunan dalam insiden kemiskinan dengan perubahan ketara di Sabah daripada 4.0% pada 2014 kepada 2.9% pada tahun 2016.
Maka, satu-satunya cara untuk memahami semua angka yang dihadapkan dengan kita ini adalah dengan membacanya sebagai sebuah propaganda tebang pilih atau ‘card-stacking propaganda’. Angka-angka tersebut mungkin benar, tetapi ia tidak menggambarkan realiti yang sedang kita semua hadapi. Kita telah dipaksakan dengan gambaran yang berat sebelah. Lebih teruk propaganda ini menyebabkan kita hanya melihat sisi positif naratif yang mahu ditonjolkan.
Realiti dan naratif sebenar
Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam sebuah kajian yang disiarkan dalam makalah Ringgit edisi April 2017 terbitan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Bank Negara Malaysia mendedahkan sekitar 59.7% penduduk di ibu negara terbeban ekoran peningkatan kos sara hidup.
Laporan Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri dari Fakulti Ekologi Manusia UPM itu juga mendedahkan sekitar 52.6 peratus warga kota juga terbeban dengan yang hutang yang menimbun.
Menurutnya lagi, sebanyak 45 peratus responden sahaja yang mempunyai rumah dengan lebih satu perdua menyatakan bahawa pendapatan yang diterima hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas sahaja.
Bahkan laporan tersebut juga mendedahkan: "Majoriti responden mempunyai pelbagai bentuk masalah kewangan, seperti lewat membayar bil, berada dalam keadaan murung disebabkan masalah kewangan dan tidak mempunyai perlindungan risiko. Sebahagian besar juga tidak mempunyai tunai sekiranya berlaku kecemasan, terpaksa berhutang sebelum mendapat gaji, pinjam wang daripada ceti atau along serta pernah diisytiharkan muflis.”
Dan laporan kajian ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Setiap hari kita berdepan dengan rungutan orang ramai mengenai sara hidup, kisah-kisah mahasiswa yang mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk makan, mahasiswa kita keluar Universiti dan tidak bekerja dalam bidang latihan mereka tetapi memandu Grab dan Uber malah ada anak kita yang mati kerana dihempap kerusi yang dibaling dari atas di flat mereka.
Bahkan pada satu tahap, kita semua tidak lagi berasa apa-apa ketika membaca belasan anak sekolah kita rentung terbakar kerana dibakar anak remaja sepermainan mereka. Kita juga adalah masyarakat yang hidup dengan kisah-kisah seperti bapa yang merogol & meliwat anaknya lebih dari 600 kali – yang akhirnya kita anggap sebagai normal. 
Jenayah dan masalah sosial meningkat dan meruncing, tetapi kita masih hidup tenang seolah-olah ianya bukan masalah kita.
Wujud pertalian yang jelas di antara jenayah, masalah sosial dan kemiskinan. Mustahil kadar kemiskinan negara kita pada saat ini pada angka 0.4%. Jika angka ini benar, mengapa NGO pro-kebajikan serta NGI seperti Syed Azmi semakin ramai dan kes-kes yang mereka kendalikan bertambah dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun?
Hari ini, naratif kemiskinan mungkin telah berjaya digelapkan. Dengan bantuan Dasar Ekonomi Baru, masyarakat tidak lagi bercakap soal Melayu miskin dan orang-orang miskin. Bahkan dengan bantuan Jabatan Perangkaan dan semua agensi kerajaan, kita semua telah disihir dengan propaganda ini. Angka 0.4% mungkin angka yang seksi untuk diperagakan di simposium atau kempen-kempen politik.
Tetapi kita juga harus ingat, titik peluh orang bekerja, malam-malam yang panjang untuk penjual burger, siang yang hangat untuk pegawai keselamatan serta 1001 jenayah yang terpaksa kita tangani dan masalah sosial yang tidak berjaya kita selesaikan, angka 0.4% tersebut hanyalah sebuah lagi magik sarkas dan persembahan murahan yang tidak memberi kesan kepada masyarakat langsung. 
Sumber: The Malaysian Insight – 26 Januari, 2018.

Tuesday, 9 January 2018

Strategi politik gandingan Dr Mahathir-Wan Azizah

Oleh Awang Azman Awang Pawi
PERSETUJUAN pemilihan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri oleh Pakatan Harapan (PH) hujung minggu lalu merupakan langkah strategik politik untuk menambat pengundi Malaysia menjelang pilihan raya umum (PRU) nanti.
Pada masa yang sama ia seolah-olah mengiktiraf sumbangan dan pengalaman Dr Mahathir selama 22 tahun. Pengalaman ini tidak dimiliki oleh kepimpinan pembangkang sebelum ini. Pengalaman luas ini dapat digunakan untuk membina dan membaiki negara yang didakwa PH sebagai sudah tercalar dan perlu dipulihkan.
Selain itu, gandingan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail digunakan untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa PH ialah gabungan dominasi Melayu, sama seperti BN yang didominasi oleh Umno dan parti lain berteraskan Melayu dan bumiputera.
Gandingan ini penting kerana selama ini PH selalu didakwa oleh BN dikawal oleh Lim Kit Siang atau DAP.
Kesan daripada dakyah tersebut, ramai pengundi Melayu termakan propaganda ini dan menjauhi diri daripada PH.
Tarik ahli Umno
Pemilihan Dr Mahathir sebagai PM sebenarnya dapat menarik lebih ramai ahli Umno menyokong PH. Ini kerana Dr Mahathir pernah menjadi sebahagian daripada hala tuju negara dan yang wujud dalam minda masyarakat Melayu.
Imej Dr Mahathir sebagai mantan presiden Umno dan mantan perdana menteri sukar dilupakan dan dipisahkan oleh ahli Umno totok.
Menyokong Tun seolah-olah menyokong idealisme parti berteraskan Melayu yang diberikan peluang dan kepercayaan menerajui PH.
Inilah pertimbangan PH agar naratif ini membelenggu minda Umno dan berani berubah menyokong PH.
Yang diperlukan oleh PH bukannya keluarnya beramai-ramai ahli Umno menyertai Bersatu atau mana-mana komponen. Sebaliknya, yang penting ialah peralihan undi protes dan sokongan senyap terhadap PH. Peralihan 10% sudah cukup memberikan makna besar kepada kemenangan pembangkang.
Pengundi Cina pula seolah-olah lebih yakin terhadap keupayaan Dr Mahathir dalam mengurus negara. Tambahan pula, Dr Mahathir dikenali mempunyai hubungan rapat dengan taikun-taikun besar bagi mengukuhkan ekonomi negara dan membantu mengukuhkan PH daripada segi kewangan parti.
Pemilihan Wan Azizah
Pemilihan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri pula ialah kompromi kepada pelantikan Dr Mahathir sebagai bakal perdana menteri. 
Terdapat sentimen faktor ahli keluarga Anwar sangat penting dan teras dalam apa-apa rundingan pelantikan jawatan dalam PH.
Hal ini berlaku kerana faktor keluarga Anwarlah yang memulakan perjuangan menentang “kezaliman” “kuku besi” era “Mahafiraun” dan menjadi lambang gerakan reformasi negara dan banyak melalui pelbagai ranjau politik.
Kemaafan keluarga Anwar terhadap Dr Mahathir mengubah landskap politik negara. Hal ini sangat besar maknanya dalam impak politik semasa.
Sekiranya, Anwar yang dipenjarakan dan sekeluarga menanggung derita politik sanggup memaafkan dan melupakan segala “dosa” Dr Mahathir, apatah lagi pengundi biasa yang tidak dianiayai dan tidak terlibat langsung dalam politik permusuhan ini.
Inilah mesej besar PH kepada pengundi yang masih tidak menyokong Dr Mahathir!
Jadi gabungan Dr Mahathir dan Wan Azizah ialah fasa baru PH untuk menjangkau sokongan yang lebih besar dan mampu memberikan impak dalam meraih undi dan memperoleh kemenangan untuk menawan Putrajaya.
Pertembungan dua personaliti
Rentak politik yang dimainkan oleh PH pada kali ini seolah-olah melangkaui parti dan segala isu semasa.
Seolah-olah terdapat rumus pemilihan untuk ditawarkan kepada rakyat sama ada memilih Tun M atau Najib. Perbandingan logika politik tentang dasar dan pendirian politik dijadikan perbandingan politik.
Misalnya, antara wawasan 2020 dengan TN50, yang manakah lebih realistik? Dasar konservatif kewangan Dr Mahathir dengan menambat mata wang dan tidak mahu memperkenalkan GST dan memastikan pemindahan teknologi dalam pelaburan luar.
Di satu sisi lain Najib dilihat terlalu bersifat terbuka dalam hal ehwal ekonomi hingga terikut-terikut dengan pengenalan GST dan menerima masuk pelabur China secara besar-besaran dan ini dibimbangkan pengundi akan beri kesan buruk kepada jangka panjang negara.
Pada satu sisi lagi Dr Mahathir digambarkan mampu memberi preskripsi untuk menyelesaikan masalah negara.
Kesemua ini dijadikan naratif PH untuk menekankan personaliti politik dalam politik personaliti mampu mempengaruhi pengundi.
Ternyata, pada pilihan raya umum kali kini seolah-olah adalah pertandingan populariti Najib Razak dan Tun M dan bukannya BN atau PH! 
Sumber: The Malaysian Insight – 9 Januari, 2018.

Friday, 5 January 2018

Calon PM mesti ada dasar ekonomi progresif

Oleh Zainulfaqar Yaacob

PAKATAN Harapan (PH) pun masih belum muktamadkan siapa calon perdana menteri mereka untuk merejam rejim kleptokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.
Jadi, saya bersama-sama rakan pun rancak berbual mengenai calon-calon perdana menteri daripada Amanah, PKR, Bersatu dan DAP.
Menerusi grup Whatsapp, pernah seorang pemimpin Pemuda Amanah nasional berkali-kali menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad seorang sahaja yang layak, kerana negarawan itu ada ilmu dan pengalaman yang “maha luas” serta pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun.
Balas saya, sesiapa pun kalau jadi perdana menteri, tentulah akan ada kuasa untuk mencorak pentadbiran, mengurus ekonomi, mewujudkan program pembangunan dan sebagainya.
Kalau Dr Mahathir disanjungi kerana Putrajaya yang dibangunkannya, Perdana Menteri Najib Razak pun boleh disanjung juga dengan projek MRT.
Fahamnya di sini, kalau bukan Dr Mahathir pun menjadi perdana menteri, individu itu ada kuasa untuk membangunkan negara seperti yang dilaksanakan oleh Dr Mahathir hatta lebih baik daripada itu.
Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi ketua menteri selepas PRU12, Mac 2008 lalu.
Sebelum itu, beliau adalah setiausaha agung DAP dan dikenali sebagai ahli politik pembangkang seperti rakan seperjuangan yang lain.
Pentadbiran Guan Eng dalam aspek ekonomi mencatatkan pelbagai rekod menarik, antaranya kerajaan negeri tiap-tiap tahun sejak 2008 mencatatkan lebihan kewangan.
Rekod surplas pentadbiran Guan Eng dalam tempoh 2008 hingga 2015 berjumlah RM578 juta. Lebihan kewangan kerajaan Pulau Pinang terdahulu di bawah Umno BN dalam tempoh 50 tahun (1957-2007) pun dicatatkan sejumlah RM373 juta sahaja.
RM9.91 bilion pelaburan terkumpul ke Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hingga September tahun lalu (Q3 2017) di kedudukan kedua paling tinggi di belakang Sarawak (RM10.52 bilion), lapor MIDA.
RM8.03 bilion pelaburan asing langsung (FDI) ke Pulau Pinang dalam tempoh Q3 2017 adalah pada kedudukan paling tinggi negara, lebih tinggi berbanding FDI ke Sarawak.
Guan Eng selalu memberitahu ada tiga faktor penting menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan menarik negara.
Pertama, Pulau Pinang ada sumber tenaga mahir yang mencukupi. Kedua, Pulau Pinang ada kemudahan rantaian bekalan dan logistik baik. Dan ketiga, dasar serta tadbir urus kerajaan negeri yang baik sehingga menarik minat pelabur.
Fahamnya di sini, pelabur berunding dengan pihak berkuasa negeri bukan sebab Lim Guan Eng adalah ahli politik pembangkang ataupun setiausaha agung DAP.
Pelabur datang berunding kerana Guan Eng ada kuasa untuk membuat keputusan di peringkat negeri dan mereka bersetuju untuk melabur di Pulau Pinang antaranya atas tiga faktor yang disebut di atas.
Maka, untuk membangunkan semula Malaysia, takkan Dr Mahathir seorang sahaja layak dicalonkan sebagai perdana menteri?
Atau, ahli politik lain yang tidak pernah menjadi perdana menteri pun, layak disebut-sebut hatta dicalonkan oleh Pakatan Harapan, asalkan mempunyai dasar yang lebih progresif berbanding sumbangan Dr Mahathir selama 22 tahun dulu?
Melihat rekod Guan Eng, elok dicalonkan sebagai menteri kewangan PH, sekaligus memadamkan dakyah cyber-trooper Umno BN kononnya DAP tuntut kerusi perdana menteri jika rejim kleptokrasi tumbang.
PKR atau Amanah pun wajar mengemukakan calon perdana menteri yang ada dasar ekonomi progresif.
Ya, dasar yang lebih progresif adalah dasar yang lebih menguntungkan rakyat terbanyak berbanding segelintir puak kroni.
Contohnya, hasrat Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan melalui agensinya sendiri 100% melaksanakan sendiri Program Perumahan Mampu Sewa Selasa (PPMSS), dengan had sewa serendah bulanan RM300 sahaja.
Program ini lebih progresif berbanding program Rumah Mampu Milik (RMM) yang dilaksanakan oleh syarikat pemaju spekulatif swasta, dan bukan milik 100% kerajaan pusat pun.
Untuk menikmati luas lantai RMM ini, rakyat dipaksa meminjam RM200,000 atau RM300,000 hatta RM400,000 daripada bank.
Kerana terjadinya housing bubble dan over production (lambakan hartanah disebabkan rakyat terbanyak tidak mampu mendiami RMM) di negara ini, BNM pula digesa melonggarkan syarat kelayakan memohon pinjaman perumahan bank demi memastikan unit rumah pemaju swasta terjual dalam pasaran.
PPMSS akan mengubah cara berfikir rakyat bahawa rumah dengan luas lantai 1,000 kaki persegi sebenarnya boleh dinikmati dengan sewa serendah RM300 sebulan, tidak perlu membeli dengan harga spekulatif yang tinggi daripada pemaju swasta.
Ini contoh dasar progresif. Selain Dr Mahathir, individu lain pun, kalau menjadi perdana menteri, mereka ada kuasa untuk merealisasikan PPMSS ini.
Calon perdana menteri PH yang ada polisi progresif ini akan memastikan kerajaan pusat melalui agensi persekutuan/negeri yang ada melaksanakan sendiri 100% PPMSS.
Contohnya di Pulau Pinang, calon perdana menteri PH berkenaan akan mengarahkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menubuhkan bank pembangunan 100% milik kerajaan.
Bank-bank pembangunan itu, yang mempunyai kuasa menerbitkan kredit tanpa kos, bolehlah membiayai semua PPMSS atau Program Perumahan Mampu Sewa Selesa tersebut.
Ini satu contoh polisi progresif, iaitu dasar yang menguntungkan rakyat terbanyak, berbanding segelintir puak kroni.
Kroni, termasuklah ahli politik, firma hartanah, serta pemaju spekulatif swasta yang selama ini menjana keuntungan berganda dengan jual mahal RMM ataupun jana pinjaman lanjut bank melalui net worth tanah dan hartanah.
Calon perdana menteri PH yang ada polisi progresif ini memang ada kuasa untuk merealisasikan PPMSS. Beliau ada kuasa dalam menentukan dasar fiskal dan dasar kewangan negara.
Dengan kuasa majoriti di Parlimen jua, calon perdana menteri PH yang ada polisi progresif ini ada kuasa untuk menggubal atau meminda mana-mana akta, demi kepentingan rakyat terbanyak tadi.
Dr Mahathir yang sudah memerintah selama 22 tahun pun boleh merealisasikan PPMSS ini, cuma beliau tidak melaksanakan 100% polisi progresif ini waktu berkuasa dulu.
Justeru, jika PH ada polisi yang progresif, layaklah semua kita sebagai rakyat terbanyak secara tidak berbelah bagi lagi untuk menyokong calon perdana menteri mereka.
Rakyat terbanyak mesti terus dididik untuk memilih seorang calon perdana menteri yang mempunyai idea serta polisi ekonomi lebih progresif, tidak memadai pengalaman 22 tahun memerintah Malaysia.
Setuju?

Sumber: The Malaysian Insight – 4 Januari, 2018.

Tanah mukim ljok: Siapa yang terdedah?

Dr Dzulkefly Ahmad SERANGAN Umno-BN dan Khalid lbrahim terhadap Menteri Besar Azmin Ali atas isu penyelesaian projek terbengkalai di Ijok...