Oleh Bede Hong
ANAK muda Malaysia boleh menjadi kuasa politik utama negara tanpa perlu bergantung kepada parti politik walaupun kadar keluar mengundi mereka secara sejarahnya rendah, kata sebuah pergerakan belia.
ANAK muda Malaysia boleh menjadi kuasa politik utama negara tanpa perlu bergantung kepada parti politik walaupun kadar keluar mengundi mereka secara sejarahnya rendah, kata sebuah pergerakan belia.
Dakwaan itu timbul ketika timbul kebimbangan yang anak muda masih tidak mendaftar atau tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Ahli politik kedua-dua pihak gagal menyediakan naratif (yang baik). Anak muda merasakan kita perlu membentuk Malaysia yang adil. Kami mahukan suara terpinggir didengar,” kata Fadiah Nadwa Fikri, peguam berusia 34 tahun pada sebuah forum di Petaling Jaya semalam.
“Tiada siapa peduli bila kita bercakap tentang pengundian misalnya, pengundian boleh menjadi cara untuk mengubah sesuatu tetapi kita tak boleh (hadkan) kemanusiaan kita hanya kepada status pengundian,” katanya pada forum bertajuk “Political Dinosaurs, Why You Still Around?” yang dianjurkan oleh Malaysia Muda malam tadi.
"Ada ramai orang yang tak boleh akses (proses) pengundian,” kata Fadiah yang juga merupakan ahli jawatankuasa pelaksana Bersih.
Beliau mengulas tentang pemimpin politik yang masih terawang-awangan dan tidak memahami kelompok anak muda.
“Jika tiada altenatif, awak tak boleh paksa orang untuk undi awak. Rakyat di luar sana dengar apa yang mereka mahukan,” katanya.
Fadiah, salah seorang peneraju Malaysia Muda berkata naratif politik negara ini dibataskan oleh isu tertentu seperti isu kaum.
“Kita sangat terasing antara satu sama lain, kita sangat terpecah belah yang (menyebabkan) satu-satunya cara adalah bergantung kepada pemimpin politik. Kemudian kita dibataskan oleh struktur politik yang berulang kali memberikan hasil yang sama.
“Adakah kita hanya tukar kepimpinan? Apabila kita enggan bergerak ke depan, apabila kita enggan mengubah naratif, yang kita ada hanyalah politik yang memecah-belahkan.”
Forum itu berlangsung ketika pemerhati politik dan aktivis semakin kerap meluahkan kebimbangan berkaitan undi anak muda menjelang PRU14 tahun depan, apabila sejumlah 2.43 juta pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun yang layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Terdapat 14.31 juta pengundi berdaftar di Malaysia.
Teo Lee Ken (gambar), seorang lagi panel forum berkata anak muda perlu “bergerak” untuk mewujudkan perubahan.
“Kita perlu mengurangkan kebergantungan kita kepada pihak lain untuk memperjuangkan apa yang kita percaya. Kita selalu bercakap tentang perubahan, tentang menghapuskan korupsi tetapi tiada siapa yang bercakap tentang makna sebenar menjadi rakyat Malaysia.”
Teo, pemegang ijazah doktor falsafah National University of Singapore memberikan contoh isu pelarian Rohingya, pekerja asing yang “bekerja berdiri lapan jam sehari” di restoran dan pelajar yang kini hanya “makan sekali sehari, dan Maggi untuk makan malam.”
“Tiada siapa bercakap tentang orang ini,” katanya yang juga aktivis Kumpulan Diskopi itu.
Bekas pensyarah New Era College itu juga mengatakan rakyat Malaysia sudah “hilang sensitiviti terhadap budaya, sastera dan seni kita.”
“Saya tak rasa kita ada seorangpun ahli politik yang boleh memetik perengan mana-mana puisi kita. Mereka hanya bercakap tentang perubahan tetapi pemahaman yang sangat rendah tentang budaya sendiri. Saya tak rasa mana-mana ahli politik mampu menghafal dan membacakan (tanpa merujuk kertas) empat perenggan puisi Usman Awang,” katanya.
“Jika kita terus duduk dalam zon selesa kita, jika kita terus buat begitu (tak pedulikan budaya) maka tidak akan ada perubahan…Tiada seorang pun mahu bergerak dan bercakap dengan kumpulan lain, tentang apa program dan agenda yang kita mahu bawakan.”
“Apa yang kami cuba katakan adalah jika mahukan perubahan, anda perlu gerakan, anda perlu lawan dalam pertarungan, dan kita ada cukup sumber dan rakan-rakan, yang kita perlukan sekarang adalah untuk berpadu, menganjur dan bergerak.
Pada sesi soal jawab ketika ditanya tentang pergerakan sesetengah anak muda untuk rosakkan undi mereka sebagai satu bentuk protes kepada kerajaan pemerintah dan pembangkang, Teo menjawab, “Kami rasakan ia terlalu awal untuk memikirkan sama ada kita perlu undi atau tidak undi atau rosakkan undi.”
“Seminggu adalah masa yang lama dalam politik, saya rasa kita perlu terus berfikiran terbuka.
“Kita perlu keluar dan menggerakkan sesuatu dan menggalakan semua orang (bukan hanya beri tumpuan) kepada pemimpin politik tetapi tentang naratif politik. Jika ada cukup daripada kita (anak muda) yang buat begitu, ia akan ubah lanskap politik.
Teo menambah yang anak muda sangat percaya kepada kesaksamaan dan lebih berani dalam tindakan mereka.
“Kenapa saya perlu panggil awak Datuk atau Tun. Yang sebenarnya saya tak peduli langsung. Saya tak kisah gelaran anda. Saya percayakan arena yang egalitarian, yang saksama, duduk di meja bersama-sama (setaraf).
“Saya suka sekali bekerjasama dengan pelajar…orang tua selalunya konservatif, sedangkan generasi yang lebih muda ada lebih banyak keberanian. Mereka buat sahaja dan mereka tak peduli. Kadang-kadang ada keperluan untuk pecahkan halangan,” kata Teo.
Fadiah mengatakan anak muda tidak perlu mengundi untuk memberi kesan kepada perubahan.
“Sangat tak masuk akal untuk kata jika awak tak mengundi, awak tak ada suara. Ini perlu berubah, kepada jika sekalipun awak tak mengundi, awak perlu ajar orang lain yang awak masih ada hak untuk terus jadi apa yang awak mahu jadi.
“Ini antara perkara yang ahli politik tak pernah bincangkan,” katanya.
Dalam satu kajian yang didedahkan September lalu, didapati yang tujuh daripada 10 anak muda Malaysia mengatakan mereka tak percayakan ahli politik dan punca utama masalah di Malaysia. Lebih separuh responden pula tidak percaya yang ahli politik pedulikan nasib rakyat.
Daripada 604 anak muda dalam kajian terbaru Merdeka Center pula, 70% mengatakan mereka tak peduli tentang politik. Jumlah yang sama juga merasakan mereka tidak mempunyai pengaruh kepada proses pembuatan dasar kerajaan.
Sementara itu, James Chin, pengarah eksekutif Asia Institute University of Tasmania berkata, mana-mana undi rosak akan memberi kelebihan kepada kerajaan pemerintah.
“Pergerakan (undi rosak) ini benar-benar berlaku. Ia sangat aktif dalam kalangan kumpulan orang Cina berpendidikan, menerusi Facebook dan media sosial. Jika mereka tak hadir (tak mengundi), penerima manfaat terbesar adalah Barisan Nasional.”
“Mereka marah dengan Pakatan Harapan, terutama sekali apabila Dr Mahathir Mohamad diberikan jawatan dan pembangkang pula tidak boleh bersatu. Gerakan ini mungkin memberi kesan kepada banyak kerusi bandar.
“Saya rasa mereka marah kerana PH di bawah Lim Kit Siang dan Anwar Najib akan sia-siakan PRU dan (menangkan) Perdana Menteri Najib Razak kerana mereka tak boleh bekerjasama dengan PAS.
“Tetapi saya juga percaya yang ramai anak muda kecewa dengan pembangkang yang terpaksa bergantung kepada Dr Mahathir untuk terus berjuang walaupun dia adalah punca kepada banyak masalah yang berlaku sekarang.
Chin berkata kumpulan perosak undi selalunya muncul sebelum pilihan raya: “Mereka selalunya adalah pengundi Cina di bandar yang keperluan politik mereka tak dapat dipenuhi DAP.”
Sumber: The Malaysian Insight – 17 Disember, 2017.

No comments:
Post a Comment