Tuesday, 19 December 2017

Gugurkan siasatan ke atas pakar undang-undang, kata kumpulan peguam

POLIS sepatutnya menggunakan budi bicara dan menggugurkan laporan yang dibuat terhadap pakar undang-undang Prof Shad Saleem Faruqi berkaitan artikel tulisan beliau mengenai kepelbagaian dalam Islam, kata kumpulan peguam.
Lawyers for Liberty (LFL) berkata siasatan jenayah ke atas profesor emiritus Universiti Malaya itu "mengejutkan dan tidak boleh diterima" kerana ia hanya artikel mengenai pandangan.
"Polis sepatutnya menggugurkan laporan dangkal itu dan bukannya menganggu beliau dan saksi lain serta mengambil keterangan mereka.
"Kuasa menyiasat polis hadir dengan budi bicara dan kepercayaan mutlak kerana tidak semua laporan polis ke atas pengkritik dan penentang kerajaan mesti disiasat," kata Pengarah Eksekutif LFL Eric Paulsen dalam satu kenyataan hari ini.
Shad kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan berhubung rencana tulisannya bertajuk “Religious radicalism on the rise” yang diterbitkan dalam akhbar The Star pada 23 November lalu.
Laporan polis dibuat oleh Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim). Dalam tulisannya, Shad mengkritik pendirian Iksim terhadap kepelbagaian budaya, sekularisme dan liberalisme.
"Hairan bagaimana Iksim boleh melibatkan polis dalam hal ini sedangkan pendekatan yang biasa digunakan apabila tidak bersetuju ialah dengan menulis satu artikel untuk menjawab artikel lain," kata Paulsen.
"Sebarang perselisihan akademik, mahupun isu-isu kontroversi harus didebat dan dibincang dalam cara yang lebih bertamadun tanpa melibatkan agensi peguatkuasaan undang-undang."
Tambah Paulsen lagi, siasatan itu satu serangan terhadap ahli akademik dan kebebasan bersuara serta beliau menggesa polis supaya mengugurkan siasatan.
"Ia hanya mengekalkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia yang lantang bersuara dan menghadkan ruang demokrasi."
Sumber: The Malaysian Insight  – 19 Disember, 2017.

No comments:

Post a Comment

Tanah mukim ljok: Siapa yang terdedah?

Dr Dzulkefly Ahmad SERANGAN Umno-BN dan Khalid lbrahim terhadap Menteri Besar Azmin Ali atas isu penyelesaian projek terbengkalai di Ijok...