Oleh: Amin Iskandar
PUTRAJAYA digesa menghentikan “drama pendedahan bersiri” dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat menyebabkan tanah Felda di Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion “lesap”, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar).
Menurut ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Perdana Menteri Najib Razak wajib mengambil langkah tuntas dalam mendedahkan tahap ketenatan skandal Felda di bawah kepimpinan beliau.
Akhbar pro kerajaan, Berita Harian pada Khamis mendedahkan sebidang tanah strategik milik Felda di Jalan Semarak di Kuala Lumpur dipercayai bertukar hak milik selepas satu transaksi diragui pada 2015.
Menurut laporan itu, Felda mungkin berisiko kehilangan hak ke atas tanah yang pada mulanya dianggarkan bernilai lebih RM200 juta itu.
Transaksi pindah milik meragukan itu melibatkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda yang kini dimajukan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), lapor akhbar itu.
Semakan dilakukan akhbar itu di portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati menara ikonik Felda itu sudah diluluskan untuk dimajukan.
Akan tetapi, hari ini Berita Harian melaporkan nilai semasa tanah itu bernilai RM1 bilion.
Pengiraan itu berdasarkan data jualan hartanah yang mendapati anggaran nilai tanah di kawasan Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak antara RM1,300 hingga RM1,600 sekaki persegi.
Malah, sumber rapat dengan projek KLVC itu mengatakan harga tanah kawasan itu boleh mencecah sehingga RM1,950 sekaki persegi. Beberapa syarikat asing termasuk dari China juga dilaporkan berminat memiliki tanah itu walaupun KLVC mahu membangunkannya sendiri.
Menurut Nurul Izzah lagi, ketiadaan pembayaran yang nyata dalam transaksi penjualan tanah itu menampakkan tiada langsung sebarang hasil atau faedah yang diraih Felda.
"Adakah ia hanya menguntungkan pihak Synergy Promenade Sdn Bhd yang dinamakan sebagai penjual dan pembeli, serta individu tertentu?
"Bagaimana pula dengan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang hanya dipanggil untuk soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
"Sedangkan beberapa kes rasuah dan salah laku berlaku di bawah pimpinan Isa. Cukupkah sekadar soal siasat dan tiada dapatan siasatan untuk capaian umum?" soalnya.
Nurul Izzah berkata, terbukti segala yang diperjuangkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), dan Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama adalah demi masa depan Felda sendiri.
"Felda sebagai agensi yang meningkatkan daya saing masyarakat Bumiputera perlu dibersihkan kembali secara menyeluruh.
"Rakyat tidak punya ruang dan waktu yang banyak untuk dijebakkan dalam drama rompakan bersiri Umno," katanya.
Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad mengakui tentang "kehilangan" tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu dan sudah membuat laporan polis mengenainya.
Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata mereka sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Katanya, pasukan itu ditubuhkan sehari selepas laporan polis dibuat oleh Felda pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen.
Beliau tidak menolak untuk memanggil Isa yang merupakan bekas pengerusi Felda untuk disiasat.
Sumber: The Malaysian Insight – 23 Disember, 2017.

No comments:
Post a Comment