Di Malaysia, memang begitulah cara kerjanya. Bijaknya, entah kenapa, selalu datang kemudian.
Episod seorang guru diheret ke mahkamah kerana "mendisiplinkan" anak muridnya membawa kita kembali ke persoalan ini: kenapakah selepas jadi itu ini barulah hendak sibuk begitu begini?
Selepas kesatuan guru bising-bising tentang macam mana hendak mengawal ibu bapa – yang selalu lebih tahu daripada guru cara bagaimana menguruskan sekolah dan mengendalikan bilik darjah – barulah Kementerian Pendidikan keluar suara tentang kod etika ibu bapa.
Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata pihaknya menyambut baik cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya satu kod etika ibu bapa di sekolah diperkenalkan bagi melindungi guru daripada "diserang" oleh ibu bapa, serta untuk menjaga keharmonian antara kedua-duanya.
"Buat masa ini, cadangan itu belum lagi sampai ke peringkat kementerian dan ia akan dibincangkan dalam pertemuan itu.
“Kita mengharapkan suatu penyelesaian segera dapat dicapai bagi memastikan guru dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna,” katanya.
Menurut Mahdzir satu pertemuan antara kementerian dan NUTP akan diadakan pada awal tahun depan untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai kod etika itu.
Eh, tumpang tanya sikit: Hendak jumpa berbincang awal tahun depan? Cadangan belum sampai ke peringkat kementerian?
Bukankah kementerian sudah didatangi oleh NUTP dengan idea kod etika ibu bapa itu setahun yang lalu?
NUTP bukan baru minggu ini atau minggu lepas bercakap tentang kod etika tersebut. Ia sudah setahun melobi dengan kementerian.
Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak, ketika baru memegang jawatan itu pada awal September 2016, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pendidikan, yang terbuka dengan idea tersebut. Perbincangan itu dua atau tiga minggu sebelum beliau menerajui NUTP.
Perbincangan itu tentulah dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, bukannya Kementerian Pendidikan Malawi.
Pada Oktober lepas pun Kamarozaman menggesa Kementerian Pendidikan melaksanakan segera kod etika itu.
“NUTP membuat cadangan kepada Kementerian Pendidikan setahun lepas tetapi sehingga sekarang tiada perkembangan," katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian.
"Kita perlu mengambil tindakan dahulu seperti dilaksanakan oleh negara-negara maju, bukan mengambil tindakan apabila berlaku musibah,” tambahnya.
Tetapi inilah ceritanya, di Malaysia – darul terhantuk tengadah.
Kambing sudah terlepas, barulah orang mencari kayu, mencari dawai, mencari paku kononnya hendak memasang pagar.
Ada beberapa contoh kerja yang jenis sudah terjerlus baru hendak ditutup lubang.
Sebuah sekolah tahfiz terbakar membunuh 23 orang, barulah kalut hendak semak laporan suruhanjaya siasatan diraja mengenai keselamatan sekolah agama yang dikemukakan hampir 30 tahun sebelumnya.
Sebelum sekolah tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu bukannya tidak ada madrasah yang terbakar, bukannya tidak ada pegawai bomba yang bercakap tentang laporan suruhanjaya siasatan diraja pada 1989 itu.
Tetapi itulah ceritanya, di Malaysia – sudah kecurian, baru hendak mengunci pintu.
Minggu ini, setahun yang lalu, sebuah bas ekspres kemalangan di Pagoh, Johor membunuh 14 orang. Laporan ketika itu menyebut pemandunya tidak cukup tidur dan dipercayai terlelap sehingga menyebabkan bas terbabas.
Selepas nahas itu, timbullah balik cerita upah pemandu bas bergantung pada elaun perjalanan, setiap bas wajib ada pemandu kedua, malah ada juga cadangan yang gila-gila misalnya haramkan bas ekspres beroperasi pada waktu malam.
Sudah lupakah cerita tahun 2013? Seramai 37 orang mati dalam nahas bas jatuh gaung di Genting Highlands? Apa jadi dengan laporan siasatan yang mengemukakan 51 cadangan penambahbaikan, antara nahas di Genting dan kemalangan di Pagoh?
Selepas nahas di Pagoh, sekali lagi macam-macam cadangan terdengar. Kebanyakan cadangan itu pun sebenarnya sudah ada dalam laporan siasatan nahas bas Genting.
Tetapi di Malaysia memang begitulah cara kerjanya.
Seminggu dua selepas ibu bapa menyerang guru di sekolah, bermacam-macam idea bijak pandai diketengahkan. Seminggu dua selepas sekolah agama terbakar, bermacam-macam pihak buat gesaan itu dan ini. Seminggu dua selepas bas kemalangan dan memakan korban, bermacam-macam tindakan diambil kepada pengusaha bas.
Selepas itu, senyap sunyi dan kita pun menunggu tragedi yang seterusnya. Kita menunggu, menunggu dan menunggu.
Apabila tragedi itu datang – lebih besar, lebih mengejutkan – kita pun berbahas, berwacana, berkongsi idea.
Selepas itu, kita menunggu lagi.
Tetapi begitulah ceritanya: di Malaysia, darul terhantuk tengadah.
Sumber: The Malaysian Insight – 22 Disember, 2017.

No comments:
Post a Comment