PEMUDA Umno Malaysia bertanya apakah tidak ada cara lain untuk menangani masalah jemaah umrah ditipu selain daripada kaedah pemantauan yang mengenakan caj tambahan yang boleh menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan.
Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin (gambar) berkata pihaknya memahami keputusan kerajaan yang mahu mengatasi masalah penipuan umrah yang berleluasa tetapi sistem pemantauan pengendalian pakej umrah Malaysia (IMAMS) bukan kaedah yang terbaik.
Katanya, langkah menyerahkan urusan itu kepada syarikat swasta yang diterajui bukan Islam juga sebagai tindakan tidak masuk akal.
"Benar, sejak beberapa tahun ini kita kerap mendengar berita jemaah yang hendak mengerjakan umrah ditipu. Tetapi kenapa diwujudkan IMAMS?
"Sepatutnya Tabung Haji (TH) yang diberi tanggung jawab tersebut, bukannya kepada syarikat swasta yang dikuasai bukan Islam menguruskan IMAMS yang diberikan Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain Pemuda Umno, PKR melalui kenyataan setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution turut meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan perkara yang sama — kenapa urusan permohonan visa jemaah umrah di bawah sistem bersepadu berkuat kuasa semalam diserahkan kepada sebuah syarikat yang dikendalikan orang bukan Islam.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semalam mengumumkan semua agensi pelancongan bertaraf muassasah yang mempunyai lesen khas umrah (LKU) diwajib menggunakan sistem yang dikendalikan oleh Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd (IMAMS) berkuat kuasa semalam.
Beberapa jam selepas pengumuman pelaksanaan kaedah baru itu, kementerian dalam satu kenyataan berasingan meminta syarikat berkenaan "dengan serta merta" memastikan kakitangannya hanya terdiri daripada individu yang beragama Islam, bagi "melindungi kepentingan dan sensitiviti agama Islam".
Sistem baru itu mengenakan bayaran RM45 untuk permohonan visa umrah, RM40 bagi perlindungan takaful serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM5.10.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini semasa mengumumkan pelaksanaan LKU pada awal Oktober lepas dilaporkan berkata jemaah umrah Malaysia kini dilindungi takaful percuma bernilai RM50,000 menerusi pengenalan lesen khas itu.
Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia juga pada Julai 2014 menjelaskan pakej penerbangan menunaikan haji dan umrah dikecualikan daripada GST.
"Berapa banyak untung yang masuk ke dalam syarikat tersebut?" tanya Nazir.
"Transformasi jenis apakah yang cuba dilakukan oleh kementerian ini kerana Pemuda Umno yakin ia hanya akan mengundang kemarahan rakyat kepada kerajaan akibat penambahan kos mengerjakan umrah," katanya.
Menurut Nazir, tindakan kementerian itu bukan saja tidak bijak malah langsung tidak cerdik.
Sumber: The Malaysian Insight – 16 Disember, 2017.

No comments:
Post a Comment