Thursday, 21 December 2017

Tragedi Wang Kelian ujian integriti polis, kata Paul Low

Oleh: Gan Pei Ling
POLIS perlu memulakan siasatan dalaman terhadap dakwaan menutup aktiviti pembunuhan beramai-ramai dan pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Perlis-Thailand pada 2015, bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap polis, kata Paul Low.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia berkata kabinet membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mingguannya, semalam dan memutuskan untuk menyiasatnya.
“Insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Ia menjejaskan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap polis sebagai institusi yang bertanggungjawab untuk melindungi rakyat dan warga asing di negara ini.
“Polis sendiri perlu lancarkan siasatan mereka. Siapa yang terbabit, adakah pegawai dan sindiket bekerjasama, dan kenapa ada percanggahan dalam laporan dalaman polis,” kata Low kepada The Malaysian Insight.
Low berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis (JIPS) perlu menjalankan siasatan dalaman secara bebas, tetapi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan boleh campur tangan jika ada aduan.
“Ini akan menjadi ujian untuk menilai integriti dan kemampuan institusi polis,” katanya.
Bekas presiden badan pemantau rasuah Transparency International Malaysia itu berkata kabinet sudah membincangkan mengenai pendedahan New Straits Times itu dan Putrajaya mahu tindakan dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Ini kes berprofil tinggi. Banyak nyawa yang terkorban, kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia dilakukan. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga kata kita perlu cari punca insiden ini,” kata Low.
Penemuan kubur besar di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia pada 2015 itu menjadi tajuk besar di seluruh dunia.
Seramai 62 orang di Thailand, termasuk pegawai kerajaan didakwa sementara di Malaysia, empat warga asing didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia.
Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty mendesak Putrajaya untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat dakwaan kes itu sengaja ditutup dan memastikan semua yang bertanggungjawab didakwa. 
Sumber: The Malaysian Insight  – 21 Disember, 2017.

No comments:

Post a Comment

Tanah mukim ljok: Siapa yang terdedah?

Dr Dzulkefly Ahmad SERANGAN Umno-BN dan Khalid lbrahim terhadap Menteri Besar Azmin Ali atas isu penyelesaian projek terbengkalai di Ijok...